Jumaat, 1 Oktober 2010

Namewee

Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) mendesak isu Wee Meng Chee, 27, atau ‘Namewee’ dibawa ke Kabinet untuk diputuskan tindakan segera ke atasnya.

Presidennya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, perbuatan Namewee telah menjatuhkan martabat negara dan menyimpang daripada semangat 1Malaysia .

“Saya mewakili 146 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu berduka cita, kesal dan marah kerana tiada tindakan yang dikenakan pada Namewee.

“Perbuatan Namewee ini tidak boleh dipandang remeh dan dia perlu diambil tindakan yang sama dengan individu lain yang sebelum ini telah mencetuskan isu perkauman,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Namewee pernah mengubah suai lirik lagu kebangsaan kepada ‘Negarakuku.’ serta pernah mempersendakan orang Islam termasuk menghina azan menerusi laman webnya.

Baru-baru ini, dia menghasilkan klip video terbaru bagi mengutuk seorang pengetua Melayu di sebuah sekolah menengah di Kulaijaya, Johor yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolah pada 12 Ogos lalu.

Dalam klip video itu, beliau antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran sebagai kurang ajar, sambil berulang kali menunjuk isyarat lucah serta mencarut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Zaizul Azizi Zaman berkata, tindakan tegas perlu dikenakan kepada Namewee kerana masyarakat Melayu sudah terlalu banyak berlembut dengan tindakannya.

“Hal ini perlu ditangani segera kerana isu sensitif begini boleh menjejaskan ketenteraman negara dan kita harus mengambil iktibar daripada peristiwa berdarah 13 Mei.

“Apabila kaum Melayu yang dikaitkan dengan sentimen perkauman, tindakan cepat diambil namun kenapa Namewee masih bebas menyentuh isu sensitif kaum lain,” katanya.

Tambahnya, Namewee mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan dia sepatutnya menggunakan anugerah yang dimiliki untuk perkara yang positif.

Dalam pada itu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Arman Azhar Abu Hanifah pula mendesak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan serius termasuk menangkap Namewee di bawah ISA.

“Perkasa sudah tiga hari melancarkan kempen Ludah Namewee iaitu kami menyeru sesiapa yang terjumpa dia supaya ludah kepadanya. Ini semua kerana perbuatannya itu.

“Kami juga akan memastikan segala konsert atau program yang melibatkan Namewee akan dibatalkan,” ujarnya.

Menurut Arman Azhar, Perkasa telah berjaya membatalkan konsert Namewee yang akan diadakan di Kolej Dong Zong pada malam ini.

2 ulasan:

  1. asal susah sngt nak kenakan dia ISA? orang lain sng je.. backup rmai atau ada takut lpas sia ditangkap, rmai lagi yang akan mncul cm dia.. Benda dia buat tu bukan susah pun, jgn smpai nama syeragh yang naik lak lpas nie, balas balik apa yang dia buat.. bukan susah pun, upload youtube je.

    BalasPadam

sila komen jika sudi :)