Jika seorang suami menuduh isterinya berzina, dia akan dikenakan hukuman
qadlif, jika ia tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa 4 orang
saksi. Dalam keadaan ini, suami boleh menggunakan acara li'an untuk
mengelakkan hukuman ke atasnya. Jika pihak-pihak kepada suatu
perkahwinan telah bersumpah secara li'an mengikut Hukum Syarak di
hadapan Hakim Syarie, dalam hukumannya. Hakim Syarie itu akan
memerintahkan mereka farak dan dipisahkan dan tinggal berasingan
selama-lamanya.
Perkara-perkara yang timbul disebabkan li`an.
Dalam perundangan Islam, seseorang suami yang meli`an isterinya akan timbul beberapa perkara ke atas isteri yang dili`an.
a) Had qazaf akan dijatuhkan kepada isteri yang dili`an, dan gugur had qazaf itu daripada suami yang meli`an.
[ Apabila seorang suami menuduh isterinya berzina, sedangkan dia
tidak ada bukti, maka dalam hukum syara` pengarang kitab ini Hj Said Hj
Ibrahim mengatakan bahwa wajib dikenakan qazaf ke atas si suami. Jadi
untuk mengelakkan si suami dikenakan had qazaf 80x rotan, setelah dia
yakin bahwa isterinya betul-betul berzina, maka dia kenalah meli`an
isterinya. Iaitu dengan 4x menyatakan tuduhan dan kali ke5 hendaklah
meminta laknat daripada Allah swt sekiranya dia berbohong. Inilah yang
dimaksudkan dalam ayat di atas. ]
b) Wajib had zina ke atas isteri yang tidak meli`an suaminya. Jika
isteri itu meli`an suaminya, gugurlah had zina itu daripada isteri tadi.
[Bila suami meli`an isterinya, maka wajib dikenakan had zina ke atas
isteri. Maknanya dirotan 100x, lepas tu direjam dengan batu sampai mati.
Jadi untuk mengelakkan si isteri daripada dikenakan had zina ini, maka
dia hendaklah meli`an balik suaminya. Bila dia li`an balik suaminya,
maka barulah dia terlepas daripada hukuman had zina.
Jadi apa yang kita lihat dalam kes li`an meli`an ini, ianya berlaku
disebabkan si isteri curang kepada suami dia. Apabila si suami melihat
sendiri isterinya berzina, padahal dia tidak ada bukti, sedangkan dia
telah menghebahkan berita tentang perlakuan zina isterinya tadi, maka
dia tidak ada pilihan lain melainkan dia kena meli`an isterinya.
Sebab itu, kita sentiasa menyatakan bahwa, bagi mana-mana suami
ataupun isteri yang ada masalah seperti ini, iaitu suami mendapati
isterinya berzina ataupun isteri mendapati suaminya berzina; maka kalau
boleh hendaklah diselesaikan di luar mahkamah. Bincang elok-elok dulu.
Lepas tu kalau tak boleh selesai jugak, biarlah bercerai dengan cara
yang baik. Jangan dihebahkan benda lagu ni kepada orang ramai sebab ini
adalah perkara yang mengaibkan.
Semua orang boleh melakukan kesilapan masing-masing. Saya boleh
melakukan kesilapan. Begitu juga tuan-tuan. Maka bila kita sendiri
menghadapi dengan masalah dimana pasangan kita telah melakukan satu
kesilapan yang sukar untuk dimaafkan, maka hendaklah diselesaikan (kalau
boleh) tanpa dilaporkan kepada pihak berkuasa. Sebab kalau dilaporkan,
maka kisah ini akan dihebahkan. Lebih baik perkara ini diselesaikan
hanya antara 2-3 orang sahaja yang tahu. Diselesaikan dengan cara yang
baik. Aib kita akan ditutup. Begitu juga aib pasangan kita ditutup. Ini
adalah lebih diutamakan dalam ajaran agama kita.
Punca
berlakunya keretakan rumahtangga hari ini adalah kebanyakannya kerana
sebahagian daripada pasangan itu mengabaikan apa yang pernah
diperintahkan oleh Allah swt dalam al-Quran Surah an-Nur:3 yang
bermaksud, "Satu
orang lelaki perzina tidak akan berkahwin melainkan dengan penzina
perempuan ataupun dengan perempuan musyrik. Satu orang penzina perempuan
tidak akan mengahwininya melainkan dengan penzina lelaki ataupun
musyrik lelaki. Yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang
beriman."...Satu
pendapat dikalangan ulama` mengatakan bahwa ayat ini menjadi dalil
haramnya seorang lelaki yang suci berkahwin dengan perempuan yang pernah
berzina. Ataupun haramnya seorang perempuan yang suci berkahwin dengan
lelaki yang pernah berzina. Manakala pendapat yang kedua yang termasuk
juga pendapat al-Imamul as-Syafie rahimmahullahu ta`ala, mengatakan
bahwa ayat ini bukan dalil kepada haramnya berkahwin dengan orang yang
pernah berzina, tetapi ayat ini menjadi dalil bahwa tidak digalakkan
berkahwin dengan orang yang pernah berzina. Maknanya, mazhab Syafie
mengatakan bahwa harus berkahwin dengan orang yang pernah berzina,
tetapi tidak digalakkan.
c) Bercerai di antara suami isteri itu selama-lamanya sebagai talak bain.
[ Dalam kes li`an, bukan setakat suami isteri tu tak boleh rujuk,
malah depa tak boleh kahwin buat selama-lamanya. Kalau kita tengok
masalah bain, dia ada 2. Iaitu bain sugra dan bain kubra. Bain sugro
maknanya tak boleh rujuk, tapi boleh kawin semula. Manakala bain kubra
ialah seperti yang dok bincang ni. Dia rujuk pun tak boleh. Kawin lagi
sekali pun tak boleh. ]
d) Tidak boleh dinasabkan anak yang tidak diakui oleh suami yang
meli`an isterinya kepada suami itu, jika suami tadi menolak anak itu
pada li`annya. Dan anak itu tetap menjadi nasab kepada isteri yang
dili`an itu.
[ Maksud ayat ini ialah si suami tak mengaku bahwa anak yang
dilahirkan oleh isterinya itu adalah anak hasil percampuran dia dengan
isteri dia. Setengah ulama` berpendapat bahwa kalau suami itu menafikan
anaknya itu setelah menerima tahniah daripada kaum kerabat, maka
penafiannya itu tidak sah mengikut hukum syara`. Contohnya macam ni.
Katalah si isteri selamat bersalin dalam bilik bersalin, lalu ketika
itu, si suami tu pun seronok terima berita kelahiran anaknya. Maka pakat
ramailah yang salam bagi tahniah. Tapi tiba-tiba tak semena-mena, lepas
tu baru dia kata bahwa si anak itu bukan anak dia. Ini yang dikatakan
pengakuan yang tidak sah, sebab dia umpama buruk siku.
Kalau dia betoi tak mengaku bahwa anak itu anak dia, maka dia
hendaklah tidak mengakui di peringkat awal. Contohnya, ketika isteri itu
masih mengandung lagi, dia dah mengaku bahwa anak itu bukan anak dia.
Misalnya check-check, isteri didapati mengandung 3 bulan. Padahal dalam
jangkamasa tersebut, sekali pun suami isteri itu tak pernah bersama.
Dalam keadaan begini, barulah sah dakwaan si suami tersebut.
Tetapi
kalau selepas buat kenduri kendara, cukur kepala anak, terima hadiah dah
apa semua; tiba-tiba baru dia kata bahwa anak itu bukan anak dia, maka
pengakuan itu tidak sah. Misalnya, tengah time ramai-ramai dok bagi
tahniah, tiba-tiba mai sorang dua yang gatai mulut pi kata, "Aiseyman!
Pasai apa aku nampak anak hang color gelap sket ni?..Padahal hang
cerah. Isteri hang pun cerah jugak. Ni mai kot mana ni?..Mamak kedai
sebelah rumah hang apa punya kerja!..."...Mulut jenih nilah yang orang kata, "Limau purut 3 serangkai. Buta perut, tarak akai!"...Jenih
ni mau harya ngan penyapu buruk je. Benda lagu ni bukan saja-saja nak
reka, tuan-tuan. Tapi pernah jadi. Hat jenih gatai mulut ni pun
sebenarnya dia nak melawak aja, tapi tak reti. Sampai akhirnya
tersinggung perasaan si suami tu. Bila berlaku keadaan lagu tu, lalu
terus si suami tidak mengaku bahwa anak tu anak dia. Lagu ni tak sah,
tuan-tuan.
Okay kalau dakwaan si suami itu dikira sah mengikut syara`, apabila
dia mengaku anak itu bukan anak dia dari peringkat awal lagi, maka nasab
(bin/binti) anak itu hendaklah diberikan pada si ibu. Tapi dalam amalan
jabatan pendaftaran dalam negara kita hari ini, nama si anak sudah
tidak di bin atau di binti kan lagi dalam surat beranak. Yang ada ialah
nama anak dalam satu kolum, nama bapa dikolum yang lain dan nama ibu pun
dalam kolum berasingan. Maknanya kalau si bapa itu tidak diketahui,
depa akan tulis dalam kolum untuk bapa tu "Tidak berkenaan". Tapi
kalau ikut Islam bila si suami meli`an si isteri, maka anak itu
hendaklah di bin kan atau di binti kan kepada si isteri yang dili`an
itu. Ini amalan cara Islam. Contohnya kalau nama anak itu Ahmad dan nama
ibunya Fatimah. Maka ia ditulis sebagai Ahmad bin Fatimah. Tapi adat di
M`sia hari ini, ia tidak diamalkan sedemikian. ]
e) Haram selama-lamanya bagi suami yang meli`an isterinya berkahwin
kembali dengan isteri yang dili`annya, sekalipun isteri itu telah
berkahwin dengan beberapa orang suami yang lain.
[ Ini bermakna kes li`an adalah lebih berat daripada kes cerai talak
3. Kalau cerai talak 3, si isteri itu boleh kembali kepada suami yang
asal sekiranya dia kawin lain dan tidur bersama suami itu, kemudian dia
diceraikan. Tetapi kalau li`an, pasangan terbabit bukan setakat
dibubarkan pernikahan mereka, bukan setakat tak boleh kawin semula,
malah mereka sekali-kali tidak boleh kawin buat selama-lamanya, walaupun
isteri itu sudah pun berkahwin dengan beberapa cina buta mahupun melayu
buta sekali pun. Biar pun si isteri tu dah beranak pinak dengan
suami-suaminya yang lain, tapi Islam kata "Tetap diharamkan kepada suami untuk kembali berkahwin dengan isteri yang dili`annya itu.".
Sebab itu, kalau suami syak isteri dia berzina, dia kena
berhati-hati. Sebelum dia buat dakwaan, dia kena cari bukti dulu.
Mana-mana undang-undang sekali pun, samada undang-undang Islam ataupun
undang-undang sekular; kalau nak tuduh orang lain melakukan sesuatu
kesalahan, beban pembuktian hendaklah dicari dulu. Kalau kita gagal bagi
bukti setelah kita buat dakwaan, maka kita yang akan tanggung akibat.
Dalam kes li`an ini, kalau suami tuduh si isteri berzina atas syak
wasangka sahaja tanpa bukti; kemudian bila dia li`an isteri dia, maka
terbubarlah perkahwinan mereka dan haram bagi mereka kembali sebagai
suami isteri selama-lamanya. Sebab itu, dalam apa-apa tindakan kita
sekali pun, bukti mesti mau ada.