\





"Mereka tidak tahu kesempitan hidup saya’
Seremban: “Semua orang salahkan saya dan tuding jari ke arah saya
menuduh saya tidak tahu menjaga anak dengan baik, tetapi mereka tidak
tahu kesempitan hidup dan kesengsaraan yang saya alami.
“Saya sayangkan anak saya tetapi saya perlu bekerja dan menyara
kehidupan dia, saya dan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun,”
kata ibu remaja orang kelainan upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan
menyayat hati oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam sebuah bilik
di Flat Semarak, Taman Semarak Fasa 2 di Nilai, semalam.
Remaja malang itu, Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemui Pengarah
Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman dalam operasi 6P bersepadu
di kawasan flat berkenaan selepas melakukan pemeriksaan di rumah itu.
Ibu remaja itu yang kini isteri kedua dan mahu dikenali sebagai Lola,
40, berkata, dia bukan meninggalkan anak sulungnya yang menghidap
penyakit celebral palsy itu tanpa jagaan dan tidak diberi makan,
sebaliknya dia mendakwa meninggalkan makanan dalam bekas polisterin
sebelum ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA).
vKatanya, waktu kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia tiada masa
menguruskan Muhammad Firdaus dengan baik dan mahu anak lelakinya itu
berdikari.
Apabila orang lihat keadaan dia, semua orang salahkan saya, tetapi
adakah mereka mahu menjaganya sepanjang ketiadaan saya di rumah. Tiada
siapa yang sanggup menjaganya kerana dia cacat,” katanya sedih ketika
tampil di pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad, di sini,
semalam.
Dia yang berasal dari Sabah berkata, Muhammad Firdaus
adalah anak sulung hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya berusia
53 tahun dan berpisah sejak 14 tahun lalu sebelum berkahwin lain pada
2004 dan dikurniakan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun.
Menurutnya, sejak berpisah dengan bekas suami yang berasal dari Tawau,
Sabah, dia tidak lagi berhubung dan tidak tahu di mana bekas suaminya
itu tinggal dan bekerja.
“Saya tidak pernah mendaftar anak saya
dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak tahu caranya dan
terpaksa meninggalkannya sendirian kerana bekerja mencari wang,”
katanya.
Apabila ditanya mengenai nasib anaknya selepas ini,
Lola berkata, dia sudah membuat keputusan untuk menyerahkan anaknya itu
kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bukan saya tidak
sayangkan dia, sebab saya sayangkan dia saya membuat keputusan itu. Saya
fikir apa akan jadi pada Muhammad Firdaus jika saya mati nanti. Ajal
maut di tangan Allah SWT, saya tidak tahu jadi saya perlu bersedia,”
katanya.
VIDEO "Mak...mak.."
Ibu direman empat hari
Nilai: Seorang wanita yang dikenali sebagai Lola, 40, iaitu ibu
remaja orang kelainan upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan menyayat
hati oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Nilai, semalam, ditahan
polis malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Abdullah Roning berkata, ibu remaja terbabit akan direman empat hari sehingga Rabu ini.
"Wanita itu ditahan di kediamannya di Flat Semarak, Nilai bagi mengambil keterangan berhubung perkara itu," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.
Remaja malang itu, Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemui Pengarah
Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman dalam operasi 6P bersepadu
di kawasan flat berkenaan selepas melakukan pemeriksaan di rumah itu