JELI - Misteri kehilangan seorang ustazah mengajar Al-Quran sejak Selasa lalu terbongkar selepas mayatnya ditemui terbaring di tebing Sungai Pergau, Batu Melintang di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari, mayat, Ruziah Saupi, 50, ditemui oleh seorang penjala ikan di sungai terbabit dalam keadaan mengiring di atas batu yang terletak kira-kira 400 meter dari rumahnya.
Anak ketiga mangsa daripada tujuh beradik, Mohd. Khardir Alias, 28, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan ibunya ialah pada malam Selasa lalu.
"Kali terakhir kami bertemu adalah di rumah saya yang terletak di Kampung Dendong di sini. Dia memasak kira-kira pukul 12 tengah malam sebelum kami makan sama-sama.
"Arwah kemudian pulang ke rumah yang terletak di kampung sama sebelum dia dsedari hilang keesokkannya," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Khardir berkata, kehilangannya disedari oleh orang kampung yang datang ke rumah untuk mengaji Al-Quran dengan ibunya yang merupakan seorang guru.
"Mereka mendapati pintu rumah dalam keadaan terbuka pada pukul 3 petang, tetapi arwah tidak menyahut ketika penduduk memberikan salam.
"Itu mendatangkan kemusykilan kepada kami kerana dia tidak pernah ke mana-mana tanpa memaklumkan kami," katanya.
Katanya, hatinya luluh apabila dalamkejadian semalam mayat ibunya di tepi sungai terbabit belakang sebuah stesen minyak dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
"Saya tidak mengetahui punca kejadian tersebut kerana selepas dua hari kehilangannya," ujarnya yang masih bersedih atas kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kejadian mangsa.
"Setakat ini kita masih menunggu laporan bedah siasat mangsa selain sedang menyiasat motif sebenar kejadian tersebut," katanya.
Kejadian ini turut menjadi viral di laman sosial mendakwa mangsa maut akibat dibunuh berpunca daripada dendam lama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
sila komen jika sudi :)