Tak tahu di mana silapnya, isu pertukaran guru menjadi isu panas di telinga guru-guru namun menjadi isu dingin dan bisu di peringkat kementerian mahupun pemimpin tertinggi.
Bukan tak mohon pindah tapi dah berkali-kali minta tukar. Bukan tak layak malah dah terlebih layak. Bukan alasan tidak kukuh malah alasan dah teramat kukuh tapi sayangnya mereka yang ada kabel pula berjaya bertukar, cikgu-cikgu yang lebih layak terbiar lagi tanpa pembelaan.
Tahukah KPM betapa deritanya seorang ibu yang jauh dari anak lebih-lebih lagi anak yang baru berumur 3 bulan. Mana naluri orang-orang KPM apabila menolak mentah-mentah alasan ibu untuk bersama anak dan suami dengan jawapan negeri yang dipohon penuh, penuh dan penuh.
Bukan makngoh seorang yang mengalami situasi macamni, ramai lagi guru-guru wanita yang bergelar ibu terpaksa berjauhan dengan anak-anak, permohonan pertukaran sentiasa ditolak, buat lagi rayuan tapi tetap ditolak. Sampai bila kami harus bersendirian di tempat orang tanpa keluarga?
Kami manusia biasa. Kami manusia lemah. Kami ada perasaan. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa menderitanya kami setiap hari menghitung hari cuti untuk pulang ke kampung menemui anak-anak. Itu pun, jika ada cuti, kadang-kadang hujung minggu pun kami terpaksa lagi ke sekolah dengan pelbagai aktiviti.
Kerajaan berbangga dengan SBPA, skim naik gaji kakitangan kerajaan, namun terus terang dari hati makngoh, makngoh lebih rela tidak naik gaji asalkan dapat bertugas di tempat yang berhampiran dengan anak dan suami makngoh. Apalah guna gaji naik sedangkan hati tidak gembira.
Iya, memang negeri yang makngoh pohon KELANTAN itu sentiasa penuh dan sentiasa tepu, tapi makngoh mohon ke PPD BESUT Terengganu pun ditolak. Janganlah diambil mudah perasaan seorang ibu. Setiap malam kami menangis merindui anak-anak kami, setiap waktu kami menangis di dalam hati walaupun bibir kami senyum.
Bagaimana kami nak bertugas dengan penuh komitmen, dengan penuh semangat sedangkan hati kami di tempat lain. DAN kami berjanji akan bertugas dengan bersungguh jika kami ditempatkan berhampiran dengan anak-anak kami.
Kepada pengawai-pengawai Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia, tolonglah kami guru-guru yang berjauhan dengan anak-anak. Anak-anak kami juga perlukan kasihsayang seorang ibu bukan sahaja murid perlukan guru. Tolonglah dengar rintihan kami, kasihankanlah kami dan anak-anak kami.Izinkanlah kami berpindah ke tempat kami. Semoga jasa pengawai-pengawai dibalas syurga oleh ALLAH S.W.T
YA ALLAH tolonglah kami hamba-hambaMu yang dalam kesusahan jiwa dan hati ini.
Sesungguhnya kebahagiaan seorang ibu adalah berada di sisi anak-anak, mendodoikan anak yang menangis ingin tidur, menyusukan anak yang kelaparan dan menjaga anak ketika dia sakit. Tolonglah izinkan dan benarkanlah kami bertukar ke sisi anak-anak kami.