Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Isnin, 9 November 2009

Bak kijang kemabukan lampu

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Umpama kijang hutan yang sesat di pekan dan mula kemabukan lampu sehingga lemah dan tidak bermaya. Barangkali, itu analogi sesuai apabila melihatkan gaya pasukan Kelantan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, di tengah majoriti lautan penyokong mereka dan berjuta-juta lagi terpaku di depan kaca televisyen.Ya, mereka berhak untuk kalah dan tidak selayaknya untuk menang kerana tindak-tanduk mereka bukan aksi untuk muncul sebagai juara.

Mereka seolah-olah bukan lagi bertanding tetapi sekadar bermain bola sepak dengan menyepak ke sana-sini, corak kekalahan yang boleh dikategorikan tanpa maruah.Seolah-olah prestasi mereka sudah sampai ke kemuncaknya sewaktu menundukkan Perlis bagi melayakkan diri ke peringkat akhir Piala Malaysia dengan corak permainan yang jauh berbeza.

Bagaikan tiada apa lagi yang perlu dikejarkan. Mereka mengecewakan seluruh harapan penyokong Kelantan dan peminat bola sepak keseluruhannya yang ingin melihat persembahan yang menarik, tanda kebangkitan sukan itu di peringkat negara. Mereka mengecewakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang berhempas pulas memberi nafas semula kepada sukan yang menuntut kepada dana yang begitu besar selain komitmen yang begitu tinggi.

Para penyokong yang berkorban masa dan wang ringgit bagi memenuhi stadium pula hanya menang sorak dan sebahagian daripada mereka bukan sekadar pulang kecewa tetapi memburukkan lagi keadaan dengan perangai yang memalukan, mengaibkan dan memualkan.
Mungkin belum pernah insiden seburuk ini dicetuskan oleh mana-mana penyokong ketika pasukan mereka beraksi di final bagi merebut piala berprestij itu.

Mereka seperti lazimnya mudah berpaling tadah apabila pasukan mula menunjukkan tanda-tanda untuk kalah.Namun apabila mereka mula merusuh dengan lontaran botol air, mercun dan membakar kerusi dan bendera negeri, mereka membenarkan persepi umum bahawa selama ini penyokong Kelantan liar dengan menunjukkan gedede dan onar tak bertempat.

Sedangkan saban tahun, akan ada pasukan yang kalah dalam perlawanan akhir, tetapi para penyokong mereka masih boleh menerima kenyataan.Justeru Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu juga mentarbiahkan mereka.

Malam kelmarin, ketika harapan menggunung tinggi, dalam keghairahan yang meluap, prestasi sang Kijang tersembam ke peringkat paling dalam dan cuti umum yang diisytiharkan oleh kerajaan negeri Kelantan bertukar menjadi hari berkabung bola sepak Kelantan.

Kesalahan mulai dituding ke sana-sini, daripada pemain, jurulatih dan pemimpin persatuan ketika sebenarnya, umum tiada yang menyangka Kelantan mampu mara sebegitu jauh dengan beraksi di peringkat akhir dalam dua kejuaraan tahun ini.

Namun ramai percaya bahawa ketidakupayaan pemain menerima tekanan dalam perlawanan yang begitu besar menyebabkan para pemain hilang punca - gugup dan gopoh serta tidak mampu mengawal bola dengan hantaran-hantaran meliar.

Tiba-tiba sahaja, tiada seorang pemain pun yang berupaya mencaturkan rentak dan corak permainan manakala barisan pertahanan pula masih jauh dari kesesuaian taraf bagi mengisi skuad negeri.Ketika pelbagai ganjaran menunggu jika pulang sebagai juara serta masa depan yang lebih baik bagi mereka sebagai pemain bertaraf profesional, tahap ketahanan mental yang masih rapuh memusnahkan segala impian peribadi mereka.

Jika diukur dengan usia kebangkitan semula skuad Kelantan dalam tempoh yang sungguh singkat setelah meredah begitu banyak halangan, ia terlalu awal untuk mereka beraksi di pentas akhir. Ke tahap ini sudah boleh dibanggakan.Justeru Tan Sri Annuar Musa tidak harus patah semangat dalam menerajui Kafa ketika politik bola sepak kadangkala lebih hebat daripada politik parti. Cuma jangan biarkan Kelantan menunggu empat dekad lagi.
Reflection : Mak Ngoh abadikan laporan berita nih kerana amat bermakna kepada Mak Ngoh yang memang ore kelate :) Kenapa dipolitikkan bola sepak? Ahaks

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!