Siapa sebenarnya Hussein Ismail Johor Bharu yang lantang mengkritik Tan Sri Annuar Musa? Lelaki terbabit menuduh Tan Sri Annuar Musa sukar menghayati peraturan FAM.
Hari ini Tan Sri Annuar Musa memberi sedikit komen mengenai artikel yang diulas oleh saudara Hussein Ismail. Rupanya, Hussein Ismail bersuara setelah membaca suara-suara dari Tan Sri Annuar Musa yang juga disiarkan di Utusan Malaysia. Ikuti dua rencana di bawah yang dicedok dari Utusan Malaysia.
Hari ini Tan Sri Annuar Musa memberi sedikit komen mengenai artikel yang diulas oleh saudara Hussein Ismail. Rupanya, Hussein Ismail bersuara setelah membaca suara-suara dari Tan Sri Annuar Musa yang juga disiarkan di Utusan Malaysia. Ikuti dua rencana di bawah yang dicedok dari Utusan Malaysia.
SAYA TERUS BERSUARA
Sebaik sahaja menerajui bola sepak Kelantan, TAN SRI
ANNUAR MUSA telah menunjukkan perubahan yang amat menakjubkan daripada
beraksi dalam Liga FAM sehingga muncul Juara Trebel dalam tempoh yang
amat singkat.
Transformasi yang dilakukannya mengingatkan kembali kepada
Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil yang berjaya mengangkat martabat bola
sepak Kedah. Namun kedua-dua tokoh tersebut mengalami nasib yang sama
digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menegur badan
induk tersebut.
Biarpun digantung Annuar tidak mengalah malah beliau tetap meneruskan perjuangan dan skuad The Red Warriors menjadi fenomena di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM dan RODELIO JUNJUN TAUCAN bersama jurugambar, ROSNI MASRI, Annuar tanpa gentar akan terus bersuara bagi menjelaskan semua kekaburan dan kekusatan dalam dunia bola sepak negara dengan apa disifatkannya sebagai masalah pentafsiran.
Annuar berkata: "Saya reda, biarlah saya digantung dua kali atau digantung seumur hidup kerana jika saya tidak lakukan perkara ini ia akan berterusan."
Pada pertemuan itu juga, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga menjelaskan mengenai insiden Mat Yo dan Komando di Stadium Sultan Muhammad IV.
MINGGUAN: Tan Sri telah melakukan pelbagai transformasi dalam bola
sepak Kelantan daripada tiada apa-apa sampai ke tahap sekarang. Sejak
Tan Sri terlibat secara langsung dalam bola sepak negara bagaimana Tan
Sri melihat bagaimana tahap profesionalisme pengurusan bola sepak di
Malaysia?Biarpun digantung Annuar tidak mengalah malah beliau tetap meneruskan perjuangan dan skuad The Red Warriors menjadi fenomena di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM dan RODELIO JUNJUN TAUCAN bersama jurugambar, ROSNI MASRI, Annuar tanpa gentar akan terus bersuara bagi menjelaskan semua kekaburan dan kekusatan dalam dunia bola sepak negara dengan apa disifatkannya sebagai masalah pentafsiran.
Annuar berkata: "Saya reda, biarlah saya digantung dua kali atau digantung seumur hidup kerana jika saya tidak lakukan perkara ini ia akan berterusan."
Pada pertemuan itu juga, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga menjelaskan mengenai insiden Mat Yo dan Komando di Stadium Sultan Muhammad IV.
ANNUAR: Kalau kita lihat di Malaysia pengurusan bola sepak secara am, bolehlah saya katakan kita masih lagi menguruskan bola sepak sama seperti 10 atau 20 tahun ke belakang. Berdasarkan kepada amalan yang biasa, yang sedang dilakukan, anda uruskan satu pasukan 25 pemain dan jurulatih, turun latihan di padang kemudian mengambil bahagian dalam pertandingan, biasanya kos dan pembiayaan datang daripada sumber tertentu yang lazimnya dari kerajaan atau satu entiti lain.
Sekarang ini kebanyakan kaedahnya masih macam itu. Sebenarnya itu bukanlah sesuatu yang boleh kita katakan sebagai pengurusan bola sepak profesional berdasarkan kepada norma antarabangsa. Maksud saya norma antarabangsa ini adalah bola sepak di negara-negara yang lebih kehadapan dan liga-liga yang lebih hebat dari kita.
Misalnya di Eropah banyak liga seperti BPL, Bundesliga dan Seri A serta disebelah Asia yang jelas J-League, K-League, A-League dan juga sebahagian daripada negara Asia Barat yang saya lihat telah melakukan banyak transformasi pengurusan. Sedangkan kita sebenarnya tidak ada beza dalam menguruskan bola sepak pada masa sekarang dengan 15 tahun dulu, tetap sama. Tetapi keadaan sekarang jauh berubah, misalnya pemain-pemain mula bercakap tentang nilai gaji yang lebih tinggi dan memerlukan kelab mencari dana yang lebih besar. Kalau dulu barangkali RM500,000 atau RM1 juta sudah cukup untuk uruskan satu pasukan, sekarang ia mencecah RM10 juta. Sudah tentu pengurusan dana sebesar, hasil perolehan sudah tidak lagi sesuai dengan cara-cara yang lama. Jadi kalau tanya saya pada keseluruhannya pengurusan bola sepak dari atas sampai bawah berbanding dengan norma yang dipakai di negara yang maju bola sepaknya kita sangat jauh berbeza.
Secara umumnya FAM perlu mengikut panduan yang dikeluarkan FIFA. Namun apakah Tan Sri melihat perkara ini berlaku atau sebaliknya?
ANNUAR: Dalam soal ini saya nampak ia lebih melibatkan soal penafsiran. Ada banyak kelemahan dalam aspek ini, pertama di peringkat FAM sendiri tidak ada jabatan undang-undang FAM sangat bergantung sepenuhnya kepada individu-individu tertentu sedangkan peraturan dan undang-undang sukan adalah subjek yang khusus. Ia mesti diuruskan oleh seorang profesional. Bukan orang biasa tetapi profesional yang mempunyai pengalaman luas. Kebetulan di negara ini aspek undang-undang sukan tidak banyak pihak yang mendalaminya. Satu benda yang baharu, kalau orang nak belajar undang-undang di universiti misalnya jarang yang akan ambil pengkhususan dalam undang-undang sukan. Mereka lebih berminat kepada undang-undang komersial, jenayah, kontrak dan sebagainya sedangkan sukan itu sendiri ada undang-undang.
Sepatutnya ada mahkamah sendiri, tribunal sendiri, ada jawatankuasa rayuan dan ia mampu memberi implikasi kepada industri bernilai berbilion ringgit. Apabila FAM tidak ada satu jabatan menyelaraskan semua ini maka kita dapati banyak berlaku kepincangan dari segi penafsiran, aplikasi, kepincangan, macam mana nak selesaikan pertikaian sehingga akhirnya menimbulkan banyak ketidakpuasan hati. Kelemahan yang kedua, persatuan negeri dan juga pengurus sukan biasanya tidak mendalami undang-undang dan peraturan. Kadang-kadang latar belakang mereka tidak berkaitan dalam sukan. Mungkin bekas guru, bekas pemain, dia mungkin sesiapa sahaja dan tiba-tiba menjadi presiden persatuan atau pengurus pasukan dan sebagainya. Bila dia tidak mendalami peraturan dia juga tidak ada peluang mahu belajar seperti hadir seminar atau bengkel tentang peraturan secara terperinci. Maka timbul masalah orang melihat mereka ini tidak mempunyai pengetahuan.
Jadi akhirnya dia tidak ikut peraturan kerana tiada pengetahuan, begitu juga orang-orang yang menguruskan bola sepak dalam semua peringkat pengurusan termasuk ahli sukan sendiri. Ramai ahli sukan kita tidak belajar peraturan contohnya orang mahu pinjam kereta bagi dokumen dia terus tandatangan bila kereta mahu ditarik baru dia baca dokumen sebab apa ditarik. Ahli sukan pun macam itu, tidak ambil peduli atau keadaan itu tidak mendidik dia untuk belajar mengikut peraturan. Sebab itu saya menekankan profesionalisme dalam semua peringkat. Pengurusan dan pemain kena faham peraturan, jadi sekurang-kurangnya bila semua orang faham peraturan maka semakin kurang pertikaian yang timbul. Sekarang ini sudahlah kita tidak rangka kerja mentadbir undang-undang secara sistematik, kemudian orang yang terlibat mentadbir tidak ada pengetahuan. Akhirnya kesemua perkara berkaitan peraturan menjadi perkara yang paling tidak diberi keutamaan.
Dalam soal isu perpindahan Mat Yo, Tan Sri melihat adakah ia dilakukan mengikut peraturan atau tidak?
ANNUAR: Sekali lagi saya kata ia adalah soal penafsiran dan sekarang penafsiran itu terletak pada FAM. Bila ada pertikaian akhirnya yang mentafsirkan ialah FAM. Jadi di sini satu perkara yang menimbulkan percanggahan bukan sahaja pentafsiran tetapi undang-undang yang digubal sendiri pun ada konflik. Sebab itu dalam menyediakan draf kontrak daripada pengalaman saya dengan Mat Yo, kita kena tengok balik. Sebagai contoh dalam kontrak itu jelas Mat Yo tidak boleh berhenti kalau nak berhenti kena bagi tempoh yang cukup. Kelab pula tidak boleh nak buang, kalau nak buang pun kena bagi tempoh yang cukup. Jadi klausa memberi tempoh yang cukup itu penting untuk masa depan pemain, kalau berhenti mendadak macam mana nak cari pasukan. Kelab pun macam itu juga kalau berhenti mendadak macam mana mahu mencari ganti. Kalau pemain yang kritikal bukan soal dia sahaja malah seluruh pasukan boleh jatuh daripada segi duit, penajaan, keupayaan pasukan macam yang Kelantan lalui sekarang.
Jadi semangatnya adalah tidak boleh berhenti secara tiba-tiba. Di Eropah pun tidak macam itu tetapi dalam draf kontrak yang kita dipaksa pakai adalah draf yang orang lain buat sama ada suka atau tidak. Tiba-tiba ada satu terma kontrak boleh dibatalkan atas kehendak bersama. Sepatutnya kena bagi tempoh sebulan kerana banyak benda perlu dilakukan secara berperingkat tetapi semua ini terhapus dalam satu klausa. Buat apa ada semua perincian itu kalau pemain boleh berkata, saya boleh berhenti, saya boleh batalkan kontrak, jadi benda seperti ini perlukan kajian. Selepas itu ada pula peraturan tidak tertulis dalam kontrak tetapi terdapat dalam FIFA sebab kita ada satu klausa umum bahawa apa sahaja kita buat undang-undang induknya adalah FIFA. Itu adalah segalanya dan kita tahu amalan dalam FIFA itu jelas. Contohnya, bagi FIFA seseorang pemain yang ada kontrak dengan mana-mana kelab dalam tempoh kontrak itu masih berjalan dan belum menjadi ejen bebas iaitu terlepas dalam semua ikatan, maka dia mesti ada tuan punya secara asasnya. Mereka adalah aset kepada kelab tertentu, jadi dalam tempoh itu tidak ada kelab boleh menghubungi secara langsung pemain berkenaan. Mahu panggil, jumpa, makan, runding semua tidak boleh dan undang-undang FIFA itu sangat jelas.
Kedua, kalau mana-mana kelab mahu mengambil pemain, wajib minta kebenaran kelab asal. Tidak boleh ada hubungan langsung kecuali hantar permintaan pada kelab dan kalau kelab kata tidak setuju berunding maka tiada apa-apa urusanlah sehingga kontrak dia tamat. Ini kunci yang diwujudkan untuk menjaga industri jika tidak timbul masalah dalam sistem perpindahan pemain sedangkan kelab sekarang buat duit melalui pemain itu kerana dia adalah aset. Pemain daripada tidak popular menjadi popular maka diletakkan harga pada pemain itu, jadi bila pindah itulah wang yang diperolehi atas segala pelaburan yang dilakukan. Jadi bila pemain boleh dicuri dari belakang tidak payahlah bayar yuran perpindahan dan pemain pula boleh keluar sebegitu mudah. Daripada membayar RM1 juta lebih baik saya bayar RM300,000, lebih murah tetapi akhirnya industri itu yang rosak. Segala pelaburan oleh kelab terhadap pemain tidak akan ada pulangan sedangkan kelab habis berpuluh juta setahun. Macam-macam yang dilaburkan kepada pemain dan dalam FIFA kalau kita ambil di luar peraturan, pemain dan kelab akan digantung minimum empat bulan.
Undang-undang dibuat sebegitu rupa sebab kalau dibiarkan ia akan merosakkan dan Kelantanlah negeri pertama yang sedang melalui perkara ini. Kesannya kita boleh lihat, kenapa pasukan juara treble tiba-tiba terkapai-kapai. Jawapannya mudah kami kehilangan empat pemain tunggak, S. Chanturu, Nurul Azwan Roya, Mohamad Ghaddar dan Mat Yo. Empat ini kesemuanya adalah kes berbeza yang berkaitan dengan undang-undang yang dalam perancangan kita. Mereka tidak sepatutnya pergi pada tahun ini. Semua perpindahan ada kes undang-undang kerana mereka lari di luar perancangan kita.
Jadi kalau begitu adakah FAM terlibat kerana ada tangan-tangan yang boleh campur tangan?
ANNUAR: Ada guna (tangan), tiada guna (tangan) pun, itulah yang berlaku. Itulah azab yang Kelantan lalui sekarang dalam kes Mat Yo terlalu banyak masalah timbul, soal cara beliau dirunding dan sebagainya. Saya tahu dia dibayar, diberi duit poket dulu dan ditawarkan gaji lebih awal. Selepas itu barulah, dia bersungguh-sungguh mahu keluar, sebelum itu dia tidak mahu keluar. Kalau dia mahu keluar tiga bulan sebelum dia kena beritahu, jadi saya ada masa cari pemain lain. Ini tidak dia hantar surat 30 Oktober 2011 tetapi mahu tamat kontrak 1 Novermber 2011, tidak sampai 48 jam. Macam mana saya nak cari pemain lain, bulan itu bulan pendaftaran, musim baru sudah bermula dia beri saya enam hari untuk cari pemain lain sedangkan pemain lain sudah ikat kontrak dengan pasukan lain. Adakah FAM mahu galakkan saya pergi 'curi' pemain lain pula dengan cara bayar kontrak mereka. Tentu tidak begitu bukan.
Tan Sri isu di antara KAFA dan PBNJ semakin panas apabila muncul komando yang lengkap bersenjata dan beruniform pada perlawanan di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim FC, ini memberi gambaran seolah-olah Kelantan terlalu 'jahat'. Apa komen Tan Sri?
ANNUAR: Saya tidak mahu bagi komen berdasarkan kepada tanggapan saya. Saya dengan PBNJ tiada apa-apa masalah peribadi, apa lagi saya Timbalan Presiden FAM, bodohlah saya mahu bergaduh dengan ahli-ahli badan gabungan. Saya sebagai rakyat biasa, Tengku Mahkota Johor sebagai Tengku Mahkota tidak eloklah pada orang Melayu kalau saya bergaduh secara peribadi. Cuma saya kena bagi satu garis panduan yang saya sedang bercakap sekarang ini adalah soal peraturan jadi kalau anda tanya adakah PBNJ menganggap begitu? Bagi saya, menganggap itu adalah satu persepsi saya tidak mahu prejudis yang saya cakap ini soal peraturan.
Tetapi tindakan membawa askar adakah itu dalam peraturan?
ANNUAR: Itulah dia bila saya tegur kerana saya rasa benda itu menyalahi peraturan. Bukan saya anggap PBNJ anggap kita jahat ke atau tidak, itu anggapan. Yang saya boleh cakap membawa senjata api ke dalam stadium selain pasukan keselamatan yang diakreditasikan. Anda boleh jadi polis dan askar tetapi kalau anda tidak dipilih untuk bertugas oleh tuan rumah atau penganjur, membawa senjata api adalah salah. Bolehkah anda seorang askar, anda sokong Kelantan datang ke stadium bawa senapang. Saya kata saya peminat Mohd. Badri Radzi saya datang saya kata mahu kawal dia, memang tidak boleh sebab dalam peraturan hanya orang yang dilantik sahaja termasuk pegawai keselamatan yang ditauliahkan oleh tuan rumah. Orang lain sama ada dia askar ke atau polis tanpa kebenaran penganjur tidak boleh apa lagi membawa senjata api adalah kesalahan besar dalam stadium.
Alasan yang diberikan adalah Sultan Johor atau Tengku Mahkota Johor mahu datang?
ANNUAR: Kalau sultan mahu datang pun mereka kena maklumkan, kami yang akan atur. Kalau mereka mengiringi sultan pun hanya sampai ke luar stadium. Masuk stadium selepas sahaja pagar kuasa kami, tanpa tiket tidak boleh masuk, tanpa kebenaran jangan masuk. Anda sebagai wartawan, anda ada hak untuk buat liputan semua berita di bawah kebebasan media tetapi kalau anda tidak ditauliahkan anda tidak boleh masuk stadium. Tidak boleh kata saya wartawan itu hak saya tapi kalau anda tidak dibenarkan maka tidak bolehlah masuk. Keselamatan sultan anda boleh uruskan di luar tapi di dalam mesti ada kebenaran. Masa saya bincang dengan mereka, tidak diberitahu mereka akan datang bawa senjata api berat. Kami bagi mereka pas tapi bukan datang dengan senapang. Saya tanya rombongan berapa orang, mereka beritahu 18 anggota keselamatan, 200 penyokong dan enam orang kenamaan. Jadi kami keluarkan pas berdasarkan itu. Pegawai keselamatan itu, saya kata duduk di astaka, dia minta nak duduk belakang tempat duduk pemain simpanan. Saya kata itu tidak boleh kena ada kawalan berasingan tapi boleh pergi astaka dua. Kami sediakan tempat di situ dan bincang tetapi bila datang dengan senjata nak masuk dalam padang mana boleh, apa perlunya. Dia bagi alasan sultan mahu datang, itu memang bohong sebab dalam mesyuarat secara rasmi dia maklumkan tidak datang. Jadi kalau tidak datang, askar tidak payahlah datang. Kita tanya secara rasmi dua hari sebelum, dia beritahu saya tidak datang.
Mungkin mereka gunakan pengalaman lepas sebagai contoh insiden membakar kereta polis pada 2009?
ANNUAR: Walau apa pun mereka kena datang bincang dengan kami, jangan bawa askar sendiri. Betullah benda itu berlaku tetapi macam mana dengan 2010 dan 2011, negeri lain datang tidak bawa senjata api pun tiada apa berlaku. Dan yang berlaku ini bukan sahaja di Stadium Sultan Muhammad Ke IV tetapi di Terengganu pun teruk, di Selangor sampai pecah muka masuk hospital sehingga FAM sendiri kendalikan kerana seorang budak buta. Benda ini berlaku dalam bola sepak yang penting bagi kami sebagai tuan rumah ialah apa langkah yang perlu dilakukan. Benda nak berlaku mana kita tahu sebab 20,000 punya perangai, tetapi apa yang kita buat kita mengambil langkah-langkah yang mencukupi atau hanya biar sahaja.
Akhir sekali, apakah harapan Tan Sri untuk bola sepak Malaysia?
ANNUAR: Saya fikir kalau kita serius dan berminat nak tengok bola sepak maju, baik menteri, badan induk yang jaga sukan dan juga orang-orang yang terlibat dalam sukan, mestilah bersedia meniru apa yang dilakukan oleh Jepun iaitu mengadakan satu perancangan yang jelas dan proses mahu melaksanakan. Mungkin melalui siri perbincangan yang mendalam dan panjang yang melibatkan semua pihak. Kumpul segala pandangan daripada semua pihak kemudian gubal satu pelan jangka panjang itu adalah kunci utama. Sebelum dikenakan hukuman saya tinggalkan satu dokumen kepada Tengku Mahkota, Timbalan Presiden FAM mengenai pandangan saya yang dibuat secara hitam putih antara perkara yang perlu dilakukan dalam konteks Liga Malaysia.
Jadi perancangannya, tentukan apakah peranan Kementerian Belia dan Sukan, peranan FAM, badan-badan gabungan dan semua pihak yang terlibat, biarlah semua jelas apa yang perlu dilakukan dan ke manakah arah tuju. Kedua, dalam mana-mana negara pun cermin kepada kemajuan bola sepak itu adalah liga tempatannya dalam konteks kita Liga M. Pada pandangan saya Liga M mesti dirombak sama sekali macam mana? Peraturan antarabangsa FIFA kalau mahu buat secara profesional, liga tidak boleh dikendalikan oleh persatuan. Adalah salah bagi FAM terus menerus mengendalikan dan akan timbul konflik. Dalam liga profesional, liga mesti dimiliki oleh pasukan yang mengambil bahagian. FAM peganglah 20 peratus tetapi bakinya mesti milik semua pasukan yang bertanding dan dikendalikan secara berasingan. Ini bukan cadangan saya, ini adalah cadangan FIFA. Satu sebab Malaysia tidak boleh menyertai Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC Champions League) adalah kerana syarat ini tidak dipenuhi. Kita hanya boleh masuk AFC CUP kerana sikap kita, ikut separuh dan tidak ikut separuh. Kalau mahu menyertai tahap tertinggi kita kena lepasi dulu kriteria ini iaitu liga tidak boleh dianjurkan oleh FAM. Sepatutnya apa sahaja keuntungan dalam liga FAM boleh simpan sebahagian tetapi selebihnya mestilah untuk liga termasuk pasukan yang bermain.
Sudahlah tidak dapat duit daripada FAM tetapi negeri pula kena 'cekik', sudahlah geran RM300,000 sahaja dari dulu sampai sekarang. Sekarang ini stesen televisyen buat duit melalui siaran langsung tetapi kelab tidak dapat apa. Dalam bola sepak dunia, penyiaran itulah sumber pendapatan tetapi kami tidak dapat apa-apa. Jadi kenapa ini berlaku, sebabnya adalah FAM pegang Liga M. Sekarang menjadi semakin teruk apabila Malaysian Super League (MSL) ditutup yang dulu saya jadi pengerusi. Dulu buang saya, selepas itu tutup MSL. Jadi ke mana kita mahu pergi tetapi inilah realitinya. Satu lagi semua kementerian perlu bersama-sama melibatkan diri dalam pembangunan bola sepak, duduk bersama berbincang. Apa yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan pun tidak cukup komprehensif mereka cuma belanjakan RM10 juta yang Perdana Menteri berikan tetapi tidak cukup komprehensif. Sebab itu saya kata paling senang adalah tiru J-League sebab mereka sudah melalui proses itu. Sekarang negara Myanmar pun sudah meniru apa yang Jepun lakukan cuma kita sahaja yang masih bodoh sombong sendiri. Seterusnya cermin kita adalah Liga M. Liga M kita teruk kena pembaharuan secara total tentang cara pengendalian, kalau tidak semakin ramai pasukan akan mati. Sekarang sudah lima negeri mati termasuk Kuala Lumpur yang sudah parah. Kemudiannya pasukan kebangsaan, ia berkait dengan perancangan, macam mana kita mahu membina pasukan negara.
Kalau pasukan tidak bagus keseluruhan bola sepak juga akan jatuh. Jadi bagaimana kita membentuk pasukan negara, saya sendiri tidak tahu tetapi dalam FAM ada jawatankuasa berhubung pembangunan pasukan kebangsaan. Tetapi setakat yang saya tahu tidak pernah ada mesyuarat. Anda pergi tanya Exco FAM sejauh mana mereka tahu macam mana bola sepak negara dikendalikan anda tanya pasti tiada siapa tahu sebab mereka tidak pernah terlibat. Sewaktu saya dalam FAM saya sepatutnya jadi pengerusi tetapi saya tidak boleh panggil mesyuarat. Jadi bagaimana?
sumber dari : Utusan Malaysia 27 Januari 2013
Presiden KAFA sukar menghayati peraturan FAM
SAYA terus bersuara," kata Tan Sri Annuar Musa dalam wawancara di Mingguan Malaysia Ahad, 27 Januari 2013 nampak macam jelas suara mirip orang yang cuba merendahkan kewibawaan FAM.Ia jelas satu penyataan yang menggambarkan seolah-olah FAM tidak memberikan ruang untuk beliau memberikan pandangan melainkan di akhbar. Malang bagi FAM kerana mendapat pemimpin berlatar belakangkan politik yang suka sangat membasuh "pekong atau kekotoran" sendiri di dada akhbar.
Nama Tan Sri Annuar Musa sememangnya sinonim dengan pelbagai kontroversi sama ada yang positif atau negatif. Lihat sahaja perbalahan beliau dengan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam tahun 1992.
Semasa usaha-usaha sedang giat untuk memelihara imej negara dalam usaha untuk menganjurkan Sukan Komanwel, satu dunia sedia maklum tentang kononnya cara beliau dilihat telah membelakangkan kuasa MOM dalam pelantikan anggota Lembaga/Pasukan Sukan Komanwel.
Perlu ditekankan di sini bahawa sesuatu peraturan yang dibuat itu adalah untuk mengikat setiap tindakan yang akan diambil dan ia amat mudah difahami tetapi nampaknya macam amat sukar untuk Presiden KAFA ini menghayati.
Lihatlah kata-kata beliau dalam wawancara itu "Saya reda, biarlah saya digantung dua kali atau digantung seumur hidup kerana jika saya tidak lakukan perkara ini ia akan berterusan."
Contoh kata-kata orang yang ingin mendapatkan perhatian dan sokongan, dan mungkin terlupa agaknya yang beliau sudah mempunyai cukup peluang untuk memperbetulkan keadaan ini semasa mempunyai tanggungjawab sebagai Menteri Sukan (1990-1993).
Saya ingin memberikan pandangan tentang isu curi atau perpindahan pemain dan merujuk kata-kata Presiden KAFA "Segala pelaburan oleh kelab terhadap pemain tidak akan ada pulangan sedangkan kelab habis berpuluh juta setahun."
Cuma saya hendak tanya Tan Sri Annuar Musa berapakah agaknya Persatuan Bolasepak Kelantan atau Presidennya sendiri membiayai pembangunan Noshahrul Idham Talaha dari tahun 2010 sehingga 2012.
Mungkin juga berapa pula belanja pembangunan pemain tersebut oleh Persatuan Bolasepak Perak, Negeri Sembilan dan Kelab UPB-My Team yang dah defunct yang membiayai MatYo untuk menjadi pemain milik mereka sehingga 2009 sebelum berhijrah ke Kelantan.
Jika sekiranya ini boleh diperincikan dengan jelas dengan tidak termasuk belanja oleh pihak FAM sendiri, maka bolehlah dipertimbangkan nilai RM1 juta yang kononnya bayaran perpindahan MatYo untuk dibahagikan secara adil kepada pihak-pihak yang terlibat seperti Persatuan Bolasepak Perak, Negeri Sembilan dan Kelab UPB-My Team atau administrator kelab tersebut, tidak termasuk FAM sendiri.
Janganlah dengan mudah mendabik dada seolah-olah pemain ini cemerlang atas usaha KAFA sahaja dan justeru ia boleh menuntut ini dan itu dengan sesuka hati dengan tidak dirasionalkan terlebih dahulu.
Pembangunan, pengurusan dan pentadbiran bola sepak profesional hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh dari semua peringkat dan bukan hanya dilihat daripada aspek perpindahan pemain sahaja.
Untuk makluman Presiden KAFA, khabar perpindahan pemain Kelantan telah mula didengar sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia lagi dan perkara tidak puas hati pemain telah lama didengar dan janganlah cuba menafikan.
Sepatutnya beliau kena selidik sebab-sebab MatYo, Mohammad Ghaddar, S. Chantury dan Nurul Azwan Roya hendak berpindah.
Dari aspek keselamatan pula, saya amat setuju jika sekiranya pihak FAM melihat semula peraturan dan sistem keselamatan di dalam dan juga luar stadium terutamanya kepada pemain, pegawai dan penyokong pasukan pelawat.
Kita semua telah melihat bahawa kejadian yang mencederakan dan juga meragut nyawa penonton telah banyak berlaku dan malang sebegini sememangnya tidak boleh dijangkakan.
Ini bukan soal provokasi tetapi lebih kepada proses pencegahan daripada kejadian yang tidak diingini berlaku terutamanya tempat-tempat yang dikenal pasti kerap berlaku kejadian rusuhan penonton.
Andaian bahawa tiada kejadian buruk berlaku di Stadium Sultan Mahmud Ke IV dalam tahun 2010 dan 2011 tidak boleh diterima bulat-bulat oleh kerana keadaan persekitaran adalah berbeza iaitu Pasukan Kelantan tidak kalah.
Tetapi bagi tahun semasa ini agak berbeza dan keadaan dan hubungan kedua-dua pasukan terlibat agak panas sebelum perlawanan itu.
Takut-takut kalaulah ada pasukan yang tidak boleh menerima kekalahan kelak akan membuat kekacauan dan rusuhan mungkin boleh berlaku....malang tidak berbau.
Ini telah terbukti bahawa kawalan keselamatan tidak begitu mantap ketika itu sehinggakan tempat duduk tetamu kehormat pun pun kena baling air botol dan ini hanya disebabkan keputusan seri sahaja dan bukan dilakukan atas sebab provokasi
Akhir kata saya berpandangan bahawa pengurusan Bolasepak Negeri Johor telah memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada pemain yang terbukti cemerlang dengan memberikan ganjaran yang setimpal dan perkara ini mungkin pihak KAFA terlepas pandang agaknya.
Hussein Ismail
Johor Bahru
SUMBER DARI UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
sila komen jika sudi :)