Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Ahad, 3 Februari 2013

Li'an dan pertuduhannya

Apakah maksud Li'an?

Jika seorang suami menuduh isterinya berzina, dia akan dikenakan hukuman qadlif, jika ia tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa 4 orang saksi. Dalam keadaan ini, suami boleh menggunakan acara li'an untuk mengelakkan hukuman ke atasnya. Jika pihak-pihak kepada suatu perkahwinan telah bersumpah secara li'an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, dalam hukumannya. Hakim Syarie itu akan memerintahkan mereka farak dan dipisahkan dan tinggal berasingan selama-lamanya.


Perkara-perkara yang timbul disebabkan li`an.
Dalam perundangan Islam, seseorang suami yang meli`an isterinya akan timbul beberapa perkara ke atas isteri yang dili`an.
 
a) Had qazaf akan dijatuhkan kepada isteri yang dili`an, dan gugur had qazaf itu daripada suami yang meli`an.
 
[ Apabila seorang suami menuduh isterinya berzina, sedangkan dia tidak ada bukti, maka dalam hukum syara` pengarang kitab ini Hj Said Hj Ibrahim mengatakan bahwa wajib dikenakan qazaf ke atas si suami. Jadi untuk mengelakkan si suami dikenakan had qazaf 80x rotan, setelah dia yakin bahwa isterinya betul-betul berzina, maka dia kenalah meli`an isterinya. Iaitu dengan 4x menyatakan tuduhan dan kali ke5 hendaklah meminta laknat daripada Allah swt sekiranya dia berbohong. Inilah yang dimaksudkan dalam ayat di atas. ]

b) Wajib had zina ke atas isteri yang tidak meli`an suaminya. Jika isteri itu meli`an suaminya, gugurlah had zina itu daripada isteri tadi.
[Bila suami meli`an isterinya, maka wajib dikenakan had zina ke atas isteri. Maknanya dirotan 100x, lepas tu direjam dengan batu sampai mati. Jadi untuk mengelakkan si isteri daripada dikenakan had zina ini, maka dia hendaklah meli`an balik suaminya. Bila dia li`an balik suaminya, maka barulah dia terlepas daripada hukuman had zina.

Jadi apa yang kita lihat dalam kes li`an meli`an ini, ianya berlaku disebabkan si isteri curang kepada suami dia. Apabila si suami melihat sendiri isterinya berzina, padahal dia tidak ada bukti, sedangkan dia telah menghebahkan berita tentang perlakuan zina isterinya tadi, maka dia tidak ada pilihan lain melainkan dia kena meli`an isterinya.

Sebab itu, kita sentiasa menyatakan bahwa, bagi mana-mana suami ataupun isteri yang ada masalah seperti ini, iaitu suami mendapati isterinya berzina ataupun isteri mendapati suaminya berzina; maka kalau boleh hendaklah diselesaikan di luar mahkamah. Bincang elok-elok dulu. Lepas tu kalau tak boleh selesai jugak, biarlah bercerai dengan cara yang baik. Jangan dihebahkan benda lagu ni kepada orang ramai sebab ini adalah perkara yang mengaibkan.

Semua orang boleh melakukan kesilapan masing-masing. Saya boleh melakukan kesilapan. Begitu juga tuan-tuan. Maka bila kita sendiri menghadapi dengan masalah dimana pasangan kita telah melakukan satu kesilapan yang sukar untuk dimaafkan, maka hendaklah diselesaikan (kalau boleh) tanpa dilaporkan kepada pihak berkuasa. Sebab kalau dilaporkan, maka kisah ini akan dihebahkan. Lebih baik perkara ini diselesaikan hanya antara 2-3 orang sahaja yang tahu. Diselesaikan dengan cara yang baik. Aib kita akan ditutup. Begitu juga aib pasangan kita ditutup. Ini adalah lebih diutamakan dalam ajaran agama kita.

Punca berlakunya keretakan rumahtangga hari ini adalah kebanyakannya kerana sebahagian daripada pasangan itu mengabaikan apa yang pernah diperintahkan oleh Allah swt dalam al-Quran Surah an-Nur:3 yang bermaksud, "Satu orang lelaki perzina tidak akan berkahwin melainkan dengan penzina perempuan ataupun dengan perempuan musyrik. Satu orang penzina perempuan tidak akan mengahwininya melainkan dengan penzina lelaki ataupun musyrik lelaki. Yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman."...Satu pendapat dikalangan ulama` mengatakan bahwa ayat ini menjadi dalil haramnya seorang lelaki yang suci berkahwin dengan perempuan yang pernah berzina. Ataupun haramnya seorang perempuan yang suci berkahwin dengan lelaki yang pernah berzina. Manakala pendapat yang kedua yang termasuk juga pendapat al-Imamul as-Syafie rahimmahullahu ta`ala, mengatakan bahwa ayat ini bukan dalil kepada haramnya berkahwin dengan orang yang pernah berzina, tetapi ayat ini menjadi dalil bahwa tidak digalakkan berkahwin dengan orang yang pernah berzina. Maknanya, mazhab Syafie mengatakan bahwa harus berkahwin dengan orang yang pernah berzina, tetapi tidak digalakkan. 
 
c) Bercerai di antara suami isteri itu selama-lamanya sebagai talak bain.
[ Dalam kes li`an, bukan setakat suami isteri tu tak boleh rujuk, malah depa tak boleh kahwin buat selama-lamanya. Kalau kita tengok masalah bain, dia ada 2. Iaitu bain sugra dan bain kubra. Bain sugro maknanya tak boleh rujuk, tapi boleh kawin semula. Manakala bain kubra ialah seperti yang dok bincang ni. Dia rujuk pun tak boleh. Kawin lagi sekali pun tak boleh. ]

d) Tidak boleh dinasabkan anak yang tidak diakui oleh suami yang meli`an isterinya kepada suami itu, jika suami tadi menolak anak itu pada li`annya. Dan anak itu tetap menjadi nasab kepada isteri yang dili`an itu. 
 
[ Maksud ayat ini ialah si suami tak mengaku bahwa anak yang dilahirkan oleh isterinya itu adalah anak hasil percampuran dia dengan isteri dia. Setengah ulama` berpendapat bahwa kalau suami itu menafikan anaknya itu setelah menerima tahniah daripada kaum kerabat, maka penafiannya itu tidak sah mengikut hukum syara`. Contohnya macam ni. Katalah si isteri selamat bersalin dalam bilik bersalin, lalu ketika itu, si suami tu pun seronok terima berita kelahiran anaknya. Maka pakat ramailah yang salam bagi tahniah. Tapi tiba-tiba tak semena-mena, lepas tu baru dia kata bahwa si anak itu bukan anak dia. Ini yang dikatakan pengakuan yang tidak sah, sebab dia umpama buruk siku.

Kalau dia betoi tak mengaku bahwa anak itu anak dia, maka dia hendaklah tidak mengakui di peringkat awal. Contohnya, ketika isteri itu masih mengandung lagi, dia dah mengaku bahwa anak itu bukan anak dia. Misalnya check-check, isteri didapati mengandung 3 bulan. Padahal dalam jangkamasa tersebut, sekali pun suami isteri itu tak pernah bersama. Dalam keadaan begini, barulah sah dakwaan si suami tersebut. 

Tetapi kalau selepas buat kenduri kendara, cukur kepala anak, terima hadiah dah apa semua; tiba-tiba baru dia kata bahwa anak itu bukan anak dia, maka pengakuan itu tidak sah. Misalnya, tengah time ramai-ramai dok bagi tahniah, tiba-tiba mai sorang dua yang gatai mulut pi kata, "Aiseyman! Pasai apa aku nampak anak hang color gelap sket ni?..Padahal hang cerah. Isteri hang pun cerah jugak. Ni mai kot mana ni?..Mamak kedai sebelah rumah hang apa punya kerja!..."...Mulut jenih nilah yang orang kata, "Limau purut 3 serangkai. Buta perut, tarak akai!"...Jenih ni mau harya ngan penyapu buruk je. Benda lagu ni bukan saja-saja nak reka, tuan-tuan. Tapi pernah jadi. Hat jenih gatai mulut ni pun sebenarnya dia nak melawak aja, tapi tak reti. Sampai akhirnya tersinggung perasaan si suami tu. Bila berlaku keadaan lagu tu, lalu terus si suami tidak mengaku bahwa anak tu anak dia. Lagu ni tak sah, tuan-tuan. 

Okay kalau dakwaan si suami itu dikira sah mengikut syara`, apabila dia mengaku anak itu bukan anak dia dari peringkat awal lagi, maka nasab (bin/binti) anak itu hendaklah diberikan pada si ibu. Tapi dalam amalan jabatan pendaftaran dalam negara kita hari ini, nama si anak sudah tidak di bin atau di binti kan lagi dalam surat beranak. Yang ada ialah nama anak dalam satu kolum, nama bapa dikolum yang lain dan nama ibu pun dalam kolum berasingan. Maknanya kalau si bapa itu tidak diketahui, depa akan tulis dalam kolum untuk bapa tu "Tidak berkenaan". Tapi kalau ikut Islam bila si suami meli`an si isteri, maka anak itu hendaklah di bin kan atau di binti kan kepada si isteri yang dili`an itu. Ini amalan cara Islam. Contohnya kalau nama anak itu Ahmad dan nama ibunya Fatimah. Maka ia ditulis sebagai Ahmad bin Fatimah. Tapi adat di M`sia hari ini, ia tidak diamalkan sedemikian. ] 
 
e) Haram selama-lamanya bagi suami yang meli`an isterinya berkahwin kembali dengan isteri yang dili`annya, sekalipun isteri itu telah berkahwin dengan beberapa orang suami yang lain.
[ Ini bermakna kes li`an adalah lebih berat daripada kes cerai talak 3. Kalau cerai talak 3, si isteri itu boleh kembali kepada suami yang asal sekiranya dia kawin lain dan tidur bersama suami itu, kemudian dia diceraikan. Tetapi kalau li`an, pasangan terbabit bukan setakat dibubarkan pernikahan mereka, bukan setakat tak boleh kawin semula, malah mereka sekali-kali tidak boleh kawin buat selama-lamanya, walaupun isteri itu sudah pun berkahwin dengan beberapa cina buta mahupun melayu buta sekali pun. Biar pun si isteri tu dah beranak pinak dengan suami-suaminya yang lain, tapi Islam kata "Tetap diharamkan kepada suami untuk kembali berkahwin dengan isteri yang dili`annya itu.".
Sebab itu, kalau suami syak isteri dia berzina, dia kena berhati-hati. Sebelum dia buat dakwaan, dia kena cari bukti dulu. Mana-mana undang-undang sekali pun, samada undang-undang Islam ataupun undang-undang sekular; kalau nak tuduh orang lain melakukan sesuatu kesalahan, beban pembuktian hendaklah dicari dulu. Kalau kita gagal bagi bukti setelah kita buat dakwaan, maka kita yang akan tanggung akibat. Dalam kes li`an ini, kalau suami tuduh si isteri berzina atas syak wasangka sahaja tanpa bukti; kemudian bila dia li`an isteri dia, maka terbubarlah perkahwinan mereka dan haram bagi mereka kembali sebagai suami isteri selama-lamanya. Sebab itu, dalam apa-apa tindakan kita sekali pun, bukti mesti mau ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!