Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Isnin, 17 Mei 2010

ganjaran guru

KUANTAN - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan ganjaran kewangan bersempena sambutan Hari Guru kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing semalam.

Muhyiddin berkata, mereka yang mencapai sasaran Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Kementerian Pelajaran yang ditetapkan bakal mendapat imbuhan wang tunai antara RM900 hingga RM7,500, mulai tahun ini.

“Selaras dengan konsep mengutamakan pencapaian dan keberhasilan, tawaran baru ini, ganjaran kewangan akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing melepasi Skor Komposit 92 peratus bagi sekolah menengah dan 84 peratus bagi sekolah rendah.

“Pengetua dan guru besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500, lima peratus guru-guru (terbaik) sekolah berkenaan pula, iaitu berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan mereka, akan menerima RM1,800 dan guru-guru selebihnya lagi akan menerima RM900,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang, di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ganjaran kewangan itu tidak terbatas sekali sahaja untuk setiap sekolah.

“Kalau sekolah itu meneruskan usahanya untuk tahun berikutnya, ia akan dapat lagi ganjaran itu,” katanya.

Beliau berkata, ganjaran kewangan itu akan diteruskan setiap tahun dan bagi tahun ini, pencapaian setiap sekolah akan dinilai selepas keputusan peperiksaan, sebelum ganjaran itu diberikan kepada mereka yang layak.

:Ditanya mengenai syor :Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru, Muhyiddin berkata, beberapa syor jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Beberapa perkara yang saya sebutkan (dalam ucapan) akan dilaksanakan seberapa segera, itu antara sebahagian daripada perkara yang dikenalpasti jawatankuasa berkenaan,” katanya.

Antara syor yang dikemukakan jawatankuasa itu yang akan dilaksanakan segera adalah mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah kepada yang lebih wajar.

“Pada masa ini terdapat sekolah yang mempunyai hampir 40 jawatankuasa dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kebersihan, keceriaan, keselamatan dan sebagainya.

“Pengecilan bilangan jawatankuasa akan dapat mengurangkan bebanan guru dan memberi peluang kepada mereka untuk menumpukan perhatian kepada tugas hakiki,” katanya.

Syor lain ialah mengkaji bilangan peperiksaan di sekolah dan ujian di peringkat sekolah yang dilihat terlalu banyak, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan penyediaan kursus bersesuaian untuk golongan pendidik. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!