Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Ahad, 25 Julai 2010

Cinta dihalang keluarga : Tinggal serumah sehingga lahirkan 2 anak tanpa nikah

APA KOMEN ANDA ?

KULIM - Gara-gara cinta terhalang, sepasang kekasih mengambil tindakan nekad untuk hidup bersama seperti suami isteri sehingga si perempuan berusia 32 tahun melahirkan dua anak luar nikah hasil hubungan tersebut.

Ketika membuat kenyataan kepada pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), si lelaki berusia 29 tahun yang bekerja sebagai buruh berkata, sebelum ini dia meminang kekasihnya, tetapi hasrat mereka untuk berkahwin tidak kesampaian apabila waris perempuan menolak pinangannya.

Mereka kemudiannya meminta kebenaran dari mahkamah di salah sebuah negeri supaya bapa kekasihnya itu dapat menjadi wali, tetapi waris perempuan enggan berbuat demikian kerana perempuan berkenaan hamil ketika itu.

Ketua Penguat Kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, permasalahan timbul apabila keluarga perempuan enggan menjadi wali kepada pernikahan anak mereka selain bersikap dingin dan tidak mahu menerima lelaki terbabit sebagai menantu.

“PADK membuat pemeriksaan terhadap keluarga ini setelah menerima aduan orang awam. Kami mendapati pasangan ini masih belum bernikah, tetapi hidup bersama seperti suami isteri.

"Selain itu, pasangan ini memiliki seorang anak perempuan berusia kira-kira setahun lapan bulan dan seorang bayi lelaki berusia 30 hari. Kedua-dua anak ini merupakan anak luar nikah hasil hubungan pasangan terbabit. Mengikut keterangan lelaki berkenaan, ketika kekasihnya sedang hamil, dia pernah berjumpa keluarga perempuan dan menyatakan hasratnya untuk meminang kekasihnya itu tetapi ditolak," katanya.

Azmi berkata, kerana terlalu kecewa dengan perlakuan pasangan itu, bapa si perempuan enggan menjadi wali sekiranya pasangan itu mahu dinikahkan.

Menurutnya, pasangan terbabit meminta bantuan Mahkamah Rendah Syariah memberikan kebenaran kepada mereka untuk menggunakan wali hakim, tetapi ketika proses ini sedang dijalankan, si perempuan melahirkan anak pertama.

Katanya, Mahkamah Rendah Syariah memaklumkan permasalahan ini kepada bapa si perempuan dan mengarahkan dia hadir ke mahkamah, bagaimanapun bapanya tetap berkeras tidak mahu menjadi wali dan mahkamah terpaksa ditunda ke Jun 2010.

"Pada Jun lalu, si perempuan sekali lagi melahirkan anak kedua mereka dan ini mengakibatkan dia tidak dapat hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kerana masih dalam pantang. Mahkamah bagaimanapun menunda kes permohonan wali ini sehingga Ogos depan apabila pasangan perempuan habis pantang dan sihat untuk menghadirkan diri ke mahkamah.

“Keluarga si lelaki berjumpa dengan waris perempuan dan cuba menyelesaikan masalah dihadapi. Bagaimanapun keluarga perempuan masih berkeras dan tidak mahu menerima pasangan lelaki sebagai menantu," katanya.

Azmi berkata, pasangan berkenaan akan di siasat bawah Seksyen 9(1)(2) di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988.

"Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000. PADK telah menasihatkan si lelaki supaya tidak tinggal bersama si perempuan sehingga mereka dinikahkan,” katanya.

Beliau menasihatkan kepada mana-mana pasangan yang mempunyai masalah wali atau perkahwinan yang ditentang oleh keluarga supaya datang ke PADK untuk mendapatkan nasihat dan tidak melakukan sebarang perbuatan berunsur maksiat.

"PADK akan memberikan bantuan dengan memanggil kesemua waris pasangan bermasalah dan berbincang cara terbaik untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!