Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Sabtu, 2 April 2011

Malaysia terlebih guru Matematik dan Sains?

Semasa makngoh berada di Sabah, makngoh tak merasa bahawasanya guru matematik dan sains sudah terlebih di sekolah-sekolah di Malaysia kerana di sekolah lama makngoh sendiri, masih lagi kekurangan guru Matematik, Sains, Fizik, Kimia dan Biologi. Malah, pada awal tahun ini, dalam beberapa bulan... guru bukan opsyen terpaksa mengajar subjek-subjek tersebut untuk pelajar yang bakal duduki SPM.

Apabila makngoh berada di sekolah baru ini pula, makngoh dapati memang berlaku lebihan guru matematik, sains dan sains tulen. Ada guru matematik yang mengajar KH, mengajar PJK, geografi, sejarah, Pendidikan Seni dan macam-macam lagi. Ada pula guru biologi yang mengajar Bahasa Melayu.

Sesekali terdengar juga bebelan dari guru senior "asyik-asyik hantar guru sains dan matematik....guru BM, guru geografi tak ada pula hantar!!!" . Habis....kami ini, guru matematik dan sains, bukannya kami pilih ke sekolah mana yang kami nak masuk. Kami dihantar! Pergilah bebel dengan orang yang hantar kami ke sekolah.

Terselit juga perasaan, kehadiran kami tidak dialu-alukan malah dianggap bebanan untuk sekolah. Lain pula kalau di Sabah, sekolah memang tiada guru matematik sains, maka kami diterima dengan hati yang gembira oleh pengetua dan rakan-rakan guru.

Macamana kami memilih opsyen matematik sains di universiti? Sudah tentu sebab dihebahkan bahawa dulu kekurangan guru matematik sains. Guru matematik sains amatlah diperlukan untuk memegang jawatan dan mengisi kekosongan tugas di sekolah. Jadi, kami belajar ikut keperluan semasa. Sekarang, hanya lebih kurang 5 tahun selepas tamat belajar, dihebohkan bahawa guru matematik sains adalah berlebihan.

Opsyen yang kekurangan guru sekarang terutamanya di KL, Selangor ini adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Geografi, sejarah, PJK, P Seni dan Agama. Jika Bahasa Inggeris makngoh percaya memang kurang guru tetapi kalau opsyen lain makngoh rasa bukan kurang, tetapi penempatan adalah tidak seragam dan sekata. Kelantan, Terengganu dan Kedah antara negeri yang dipenuhi dengan guru-guru BM, Geo, Sej dan yang lain. Kenapa itu berlaku? Sudah tentu akibat penggunaan "kabel". Negeri dah penuh guru opsyen tersebut tetapi akibat guna 'kabel' maka 'disumbatlah' juga guru berkabel itu.

Makngoh sendiri pernah bertanya kepada pengawai di KPM -:
        "Kenapa saya di tempatkan di KL sedangkan saya tidak minta negeri ini?"

Pengawai tersebut dengan lajunya jawab dengan menggunakan skrip sedia-ada.
    "Sebab KL sekarang nak pakai opsyen cikgu. KL memang tak cukup guru opsyen matematik"

Makngoh jawab "Iye ker? Kalau macam tu kenapa saya ni kena ajar Pendidikan Seni dan PJK?"

Terdiam sekejab dan tergagap pengawai tu nak jawab. Last-last dia jawab "Tak apalah,cikgu. Jadikan itu sebagai pengalaman"

Okay. Fine. Makngoh pun tak kisah mengajar subjek lain selain matematik. Makngoh boleh jadikan itu sebagai pengalaman tetapi kenapa kalau semasa guru nak minta tukar sekolah, alasan opsyen itu sangat-sangat diberatkan seolah-olah, guru opsyen lain tak boleh ajar subjek lain. Apabila sampai ke sekolah, lain pula jadinya. Peraturan di kertas tidak sama dengan peraturan yang diaplikasikan.

Makngoh percaya dengan kata-kata pengawai KPM, memang benar sekarang guru matematik sains sudah lebih. Beliau juga berkata, yang belum posting ni pun tak tahu nak hantar ke mana. Rata-rata tempat di Malaysia sudah cukup guru sains matematik.

TETAPI, pendapat makngoh HANTAR JE LAH KE SABAH DAN SARAWAK! KAT SANA MEMANG BELUM CUKUP TETAPI GURU YANG TAK MAHU PERGI. TAK MATI LER KALAU POSTING KE SABAH SARAWAK TU. Masa single dan bujang lah nak menimba pengalaman di tempat orang. Mustahil semua guru yang belum posting itu sudah KAHWIN dan ada alasan tak nak tinggalkan suami/isteri di semenanjung.


PETIKAN DI BAWAH INI MAKNGOH PETIK DARI BERITA HARIAN MENGENAI ISU LEBIHAN GURU MATEMATIK DAN SAINS.

Minda Pengarang: Kementerian perlu tangani lebihan guru elak pembaziran tenaga pengajar berulang

ADUAN mengenai kekurangan guru di sekolah bukan suatu yang asing. Apabila masalah itu timbul, ia bukan saja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, malah turut membebankan guru lain. Suatu ketika dulu, kekurangan guru sering ditimbulkan terutama membabitkan subjek kritikal, khususnya Sains dan Matematik. Bagi mengatasi masalah itu, pelbagai langkah dan pendekatan diambil Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Antara usaha dilakukan ialah menambah pengambilan guru pelatih membabitkan dua bidang berkenaan. Akhirnya, kekurangan guru dua subjek berkenaan dapat diatasi sepenuhnya.

Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila akhbar ini kelmarin melaporkan terdapat pula lebihan kira-kira 26,000 guru di seluruh negara, terutama yang mengajar dua subjek berkenaan. Bilangan yang ramai itu masing-masing membabitkan 14,000 guru Sains dan 12,000 lagi guru Matematik. Keadaan itu jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan pembaziran tenaga kerana kepakaran guru terbabit tidak dimanfaatkan secara optimum. Selepas guru berkenaan mendapat latihan khusus bagi mengajar subjek berkenaan, malangnya kemahiran mereka tidak digunakan sepenuhnya bagi mengajar dua mata pelajaran yang dianggap penting itu.

Disebabkan guru subjek berkenaan berlebihan, ada antara mereka terpaksa mengajar subjek lain yang tiada kena-mengena dengan opsyen mereka ketika menjalani latihan. Guru yang memiliki kepakaran mengajar subjek Fizik, Kimia dan Biologi diarah mengajar subjek lain seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Jasmani dan Bahasa Inggeris, sudah tentu menimbulkan masalah dari segi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Keadaan itu juga pastinya mengecewakan ibu bapa yang mengharapkan anak mereka diajar oleh guru yang mahir dan pakar dalam subjek tertentu. Kita percaya, tentunya ada guru yang kecewa dan hilang semangat kerana terpaksa mengajar subjek yang bukan menjadi kepakaran mereka. Jika dipaksa mengajar bidang yang tidak diminati, ia bukan saja boleh menghilangkan semangat guru terbabit, malah prestasi pelajar juga akan turut terjejas.

Penjelasan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa lebihan guru terbabit bukan membabitkan guru yang sedang berkhidmat, sedikit sebanyak memberi gambaran sebenar kedudukan masalah itu. Lebihan guru itu berlaku sebenarnya disebabkan penempatan untuk mengajar belum dibuat. Graduan bagi opsyen Sains dan Matematik itu belum ditawarkan penempatan berikutan lebihan penawaran guru subjek terbabit di seluruh negara. Justeru, kita harap Jawatankuasa Bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang diwujudkan dapat mencari penyelesaian bagi menangani masalah itu.
Kedua-dua kementerian perlu membuat unjuran yang lebih tepat bagi memenuhi permintaan guru opsyen berkenaan di semua sekolah. Jika unjuran semasa bagi memenuhi kuota pengambilan guru opsyen berkenaan hanya 50 orang, adalah tidak wajar pengambilan guru pelatih dibuat melebihi daripada unjuran berkenaan. Sewajarnya guru pelatih itu ditawarkan opsyen lain yang dikenal pasti berlaku kekurangan, sebelum mereka diterima masuk menjalani latihan. Kita berharap jawatankuasa bersama antara dua kementerian terbabit dapat mencari kaedah dan penyelesaian terbaik agar masalah lebihan guru tidak berulang pada masa depan.

1 ulasan:

  1. Setuju tu . Sekolah saya berlaku lebihan guru sains Dan matematik . Sedangkan guru bm , sejarah , geografi sangat sedikit .

    BalasPadam

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!