Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Khamis, 24 Jun 2010

Cerpen : Kesilapanmu Keegoanku Part 2

Ain menghirup fresh orange di depannya. Cerita temannya itu didengar dengan teliti. Dia tahu, jika dia berada di tempat Tasha tentu dia juga dalam keadaan keliru.
“Bolehkah aku terima dia, Ain?”soal Tasha buntu.
“Aku tidak boleh buat keputusan untuk kau. Kau fikirlah elok-elok. Tanya apa perasaan kau”
“Aku tidak tahu apa perasaan sendiri”keluh Tasha.

“Tasha, seeloknya kau tanya pada Allah. Lembutkan hati kau”. Tasha diam.
“Hati kau dah berbelah bagi. Dulu kau amat yakin tidak cintakan dia. Sekarang kau sendiri dah keliru. Hati kau dah terbuka untuknya”

“Tapi kenapa baru sekarang? Kenapa tidak di awal perkenalan kami lagi?”
“Ada hikmat di sebaliknya. Mungkin untuk memberi pengajaran kepada kita semua. Supaya dia lebih menghargai kau dan supaya kau sedar betapa dia amat cintakan kau”

“Benarkah hatiku dah terbuka untuknya? Bolehkah? Setelah kami lalui satu dosa, pastinya aku takkan bahagia dengannya. Dosa itu akan menghantui kami”
“Boleh jika kau mahu dan tidak boleh jika kau tidak mahu”nasihat Ain.

~*~~~**~
“Baguslah Tasha datang, dia pun asyik tanyakan Tasha dua tiga ni”kata Datuk Rahim dalam senyuman.

“Minta maaf. Dah tiga hari Tasha tak datang melawat. Dia macamana sekarang?” soal Tasha.

Matanya singgah pada wajah yang sedang tidur lena. Sengaja dia tidak melawat lelaki itu. Dia ingin ketenangan hati untuk pertimbangan keputusan yang ada.

“Alhamdullillah. Doktor kata seminggu dua lagi dia boleh keluar wad. Tapi kena pakai kerusi roda beberapa bulan. Itupun nasib baik tulangnya tidak retak teruk”terang Datuk Rahim. Datin Rafidah hanya diam.

“Baguslah kalau macam tu. Uncle dan aunty baliklah berehat. Biar Tasha yang jaga dia. Lagipun Tasha free hari ni”ujar Tasha. Dia memang ikhlas ingin menolong.

“Eh, tak apalah. Menyusahkan Tasha je. Aunty boleh jaga dia”

“Tapi Tasha kesiankan aunty. Muka aunty nampak pucat. Aunty baliklah. Tasha janji akan jaga dia baik-baik”janjinya.

“Betul tu, Tasha. Uncle pun risaukan kesihatan aunty kamu ni. Idah, kita balik dulu. Biar Tasha yang jaga Along”pujuk Datuk Rahim.

“Idah nak cakap sesuatu dengan Tasha. Abang boleh tak tinggalkan kami sekejab”.

“Terima kasih sebab Tasha selalu datang melawat dia. Tapi kami tidak mahu Tasha paksa hati sendiri. Aunty tahu Tasha masih bencikan dia. Jadi…aunty faham kalau Tasha tak datang melawat dia pun tak apa”ujar Datin Rafidah dengan sebak.

“Aunty janganlah cakap macam tu. Tasha melawat dia dengan hati yang ikhlas. Tasha tahu, Tasha tak dapat apa-apa daripada benci dan dendam. Walau sekuat mana pun Tasha bencikan dia, dia tetap cintakan Tasha. Benci Tasha cuma menyiksa hati dia semata”

“Fikirlah apa yang terbaik untuk diri Tasha. Aunty anggap Tasha macam anak sendiri. Aunty sentiasa doakan kebahagian Tasha”ucap Datin Rafidah dan mengucup pipi gadis di depannya.

“Aunty balik dulu. Lepas Asar nanti aunty datang balik”. Tasha angguk.

Suasana kembali sunyi. Hanya tinggal dia bersama Hanif yang sedang tidur nyenyak. Tasha membetulkan selimut Hanif. Dia tidak tahu apa yang harus dibuatnya. Dia tidak biasa menjaga orang sakit lebih-lebih lagi menjaga orang yang dibencinya. Dia duduk di kerusi yang berhampiran katil itu. Matanya singgah di wajah Hanif. Tidak dinafikan wajah itu indah, tapi hatinya terkunci untuk Hanif. Sejak awal perkenalan hingga ke saat ini, hatinya tetap menolak Hanif.
Tasha mengeluh. Beberapa majalah dibeleknya.

“Tasha…” Kedengaran suara Hanif halus. Lantas Tasha memandang wajah di depannya.
“Ya, awak nak air?”soal Tasha gagap. Tiba-tiba dia takut pada lelaki itu.

“Tasha…saya tengah bermimpi ke?” ujar Hanif dan cuba mengapai wajah gadis di depannya. Tasha menjauhkan wajahnya.

“Awak tidak bermimpi. Memang saya di depan awak ni. Saya tolong jagakan awak. Mama dan papa awak balik berehat”terang Tasha. Dia bangun dan menuang air. Cawan itu dihulurkan kepada Hanif. Lelaki itu geleng.

“Terima kasih datang melawat saya. Saya amat rindukan awak. Kemalangan saya alami ni mengingatkan dosa saya pada awak”ucap Hanif perlahan.

Dia cuba bangun dan duduk berlunjur di katilnya.

Tasha bergerak ke tingkap bilik itu. Dia memandang ke luar bilik. Bukit-bukau yang masih hijau. Tasha kembalikan pandangannya kepada wajah Hanif.

“Masa saya dikejarkan ke sini, saya teringatkan awak. Saya takut saya tak sempat meminta maaf dari awak”

“Berani buat dosa so kena beranilah tanggung!!!”jawab Tasha keras. Hanif diam dan memandangnya layu.
“Tasha, tahukah awak betapa siksanya hati mencintai insan yang membenci kita?” soal Hanif lemah.

“Saya tidak pernah minta awak cintakan saya. Kalau awak tidak cintakan saya, tentunya kita tidak berada di sini sekarang”keluh Tasha sayu.

“ Dan saya pun tidak pernah minta cintakan awak. Saya tidak sengaja jatuh hati pada awak. Bila saya sedar, saya sudah tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Yang saya tahu saya kena berjuang agar awak juga cintakan saya”

“Awak berjuang untuk memiliki dan menguasai saya semata-mata. Sebab itulah awak paksa saya. Jangan lupa apa yang awak dah buat pada saya!!!”

“Saya sentiasa ingatnya. Itulah mimpi ngeri saya setiap malam. Tasha… tolonglah cintai saya. Saya janji akan layan awak bagaikan puteri. Awak tidak akan kekurangan apa-apa”

“Awak masih tidak faham saya. Saya tidak ingin dilayan bagaikan puteri. Saya tidak ingin jadikan orang yang saya cintai sebagai hamba. Cukuplah ada seseorang di sisi yang menyayangi saya dan memerlukan saya seperti saya perlukan dia”

Hanif diam. Baginya itu hanyalah alasan. Dan hanya alasan yang lahir dari bibir Tasha.

“Sudahlah. Awak rehatlah. Usah fikirkan soal perasaan lagi. Kalau dah ditakdirkan ada jodoh, saya tetap akan cintakan awak juga”

“Saya akan tunggu saat itu”ucap Hanif dengan semangat yang menyala. Itulah kali pertama dia mendengar kata harapan dari Tasha.

~~***~~~
“Dah seminggu awak tidak datang melawat saya” ucap Hanif sambil menatap wajah Tasha. Personaliti gadis itu sudah berubah. Dia berbaju kurung dan bertudung litup. Keayuan dan kemanisannya makin terserlah.

“Awak macammana? Sakit lagi?”soal Tasha.
“Dah tak sakit. Tengok wajah awak hilang segala kesakitan saya”ujar lelaki itu.

Tasha berpura-pura tidak dengar. Dia tahu Hanif bukan bermanis mulut tetapi memang itulah hakikat sebenar yang dirasakan oleh lelaki itu. Dia mengupas kulit epal perlahan-lahan. Dia kekok.

“Macamana boleh accident? Ataupun awak rasa tercabar bila saya sebut pasal bunuh diri tu?”soal Tasha berani. Dia membetulkan tudung. Masih lagi rasa kekok mengenakan tudung di kepala.

“Nauzubillah !!! Sumpah saya tidak berniat begitu. Kenapa saya ingin mati? Kalau boleh saya ingin hidup seribu tahun lagi untuk saya menatap wajah awak sepanjang hayat saya”

“Wajah saya takkan kekal begini selamanya”
“Tak kisah. Janji awak di sisi saya selagi hayat dikandung badan”. Tasha diam. Pinggan berisi epal diserahkan kepada Hanif. Tasha mengambil tempat di birai katil Hanif. Memang rasa tidak selesa namun dikuatkan hatinya. Hanif merenungnya dalam. Tasha tunduk. Dia tidak biasa bertentang mata lelaki itu.

“Doakanlah agar hati saya terbuka untuk awak. Doakanlah kelembutan hati saya untuk awak”ucap Tasha perlahan dalam tunduknya.

“Apa? Saya tidak dengar”kata lelaki itu.
“Tak ada apa-apa. Rehatlah, saya ada kuliah”ujar Tasha dan bergerak ke sofa. Dia mengambil tas tangannya di meja dan menghampiri pintu. Belum sempat tombol pintu dipulas, Hanif menghalangnya.
“Saya sentiasa mendoakan kelembutan hati awak. Malah mama saya pun doakannya. Saya berjanji akan berikan yang terbaik untuk awak. Harap awak maafkan dosa saya yang lalu” .

Tasha mengeluh. Dia masih membelakangi Hanif yang duduk di katil.

“Saya merayu tolonglah jangan ungkit benda tu lagi. Sebab setiap kali saya ingatnya, saya akan bencikan awak. Saya maafkan kesilapan awak tu. Saya baru sedar…keegoan saya menyebabkan awak bertindak begitu”

“Tasha…betul ke ucapan awak tu?”. Tasha berpaling mengadap Hanif. Dia menganguk. Hanif senyum. Penantiannya selama ini bakal berakhir.

~~~***~~~~**~
“Along, buah hati along ada kat bawah ni” jerit Lia, adik perempuan Hanif.
“Dia tidur kut, kaklong…”tambah gadis itu. Tasha senyum. Begitu cepat gadis itu memanggilnya kak long.

“Tak apalah. Nanti akak naik atas tengok dia. Lia sekarang belajar form berapa?”
“Form 4”
“Oh, tahun depan SPM. Macamana study?”

“Bab study baik jangan tanya dia, Tasha. Aunty tak penah tengok dia study. Tengok tv dan tidur je kerjanya. Petang-petang keluar jumpa kawan main bola jaring, bola tampar macam-macam bola. Budak zaman sekarang ni”keluh Datin Rafidah.

“Ala mama ni. Malukan Lia je. Along tu tak mau abihkan master, mama tak marah pun”muncung Lia.

“Along kamu lain. Sekurangnya dia dah degree. Tak macam kamu result PMR pun cukup makan. Belajar malas. Ataupun nak mama kawinkan kamu. Bersanding sama-sama dengan kaklong nanti, nak tak?”usik Datin Rafidah.

“Tak nak !!!. Lia pegi study la. Kaklong, Lia naik dulu ye”minta gadis itu. Tasha mengangguk dalam senyuman. Matanya tertumpu pada gambarnya yang tergantung di ruang tamu itu. Dia mengeluh dengan perangai Hanif.

“Hanif dah tak mahu sambung study ke aunty?”soalnya.
“Entahlah. Katanya nak tunggu Tasha dan sambung belajar sama-sama dengan Tasha”
“Bukan macam tu mama. Along taknak tinggalkan kaklong kat Malaysia. Dia takut kaklong berubah hati. Lagipun dia risau akan rindukan kaklong bila kat Jepun nanti”celah Lia dari tingkat atas.

“Isk, budak-budak jangan menyampuk bila orang tua bercakap”marah Datin Rafidah. Tasha senyum.

“Tasha nak naik tengok dia boleh tak aunty?”

“Naiklah. Dia jarang turun kat bawah. Susah. Kaki dia sakit lagi. Rasa sengal-sengal katanya”
Tasha masuk perlahan-lahan ke bilik Hanif. Benar kata Datin Rafidah, bilik itu dipenuhi dengan gambarnya. Sesungguhnya hati Tasha terasa terharu dengan perasaan lelaki itu.

“Tasha…”tegur satu suara. Hanif sedang memerhatinya dari meja komputer.
“Erk, sorry. Saya masuk tak beri salam”ucap Tasha terkejut.

“Takpe”. Tasha diam. Tidak tahu bagaimana ingin mulakan bicara. Dia duduk di sofa yang berhampiran dengan Hanif. Pemuda itu memandangnya dengan senyuman. Senyuman yang tidak pernah lekang.

“Aunty kata kaki awak sakit lagi. Betul ke?”. Hanif angguk lemah.
“Sakit rindu pada awak. Sakit yang tiada ubat”. Lain yang ditanya, lain yang dijawab, desis hati Tasha.

“Itu baru dua hari saya tidak jenguk awak. Macam mana bila awak kembali ke Jepun nanti”duga Tasha.

“Saya ingat nak batalkan pelajaran saya kat sana. Bekerja dengan papa dulu. Kemudian, saya akan sambung belajar dengan awak nanti. Buat masa ni, saya tak nak berjauhan dengan awak”luah Hanif.

“Hanif… sambunglah pelajaran awak. Bukankah saya dah kata, kalau ada jodoh tak ke mana”. Masing-masing diam.Tidak mahu memaksa.

“Boleh saya tanya sesuatu?”pinta Tasha. Hanif angguk.

“ Apa tindakan awak bila awak cemburu?”
Hanif tergelak.

“Kenapa tanya begitu?”

“Awak akan jadi terlalu agresif. Awak mungkin akan berubah jadi orang lain. Split personality, awak pernah dengar?. Saya tahu awak amat sayangkan saya. Tetapi perasaan awak tu akan menyiksa saya juga. Awak akan menjadi bengis, awak sedar?”terang Tasha. Bukan niat menyakiti hati lelaki itu.

“Saya sendiri tidak pasti bagaimana reaksi saya”ujar lelaki itu perlahan. Dia cuba memahami maksud yang ingin disampaikan. Mungkin Tasha masih kenangkan peristiwa hitam yang pernah berlaku itu.

“Hanif…saya takut pada lelaki yang garang. Saya takut apabila ada orang memarahi saya. Saya takut pada seseorang agresif dan saya takut apabila teringatkan keadaan awak pada malam hitam tu. Malam tu seolah-olah bukan awak”Tasha mengetap bibir meluahkan perasaan.

“Ucapan sayang dan cinta awak malam tu masih lagi kedengaran. Saya nampak awak menangis sambil mengucup saya. Awak tak habis-habis ucapkan ‘I love you’ tetapi kenapa awak tidak hiraukan tangisan saya? Saya tidak faham”sambung gadis itu. Perit juga untuknya menyingkap sejarah itu kembali. Namun dia perlukan kepastian dan dia perlu memahami lelaki itu.

“Sayang…bukankah kita dah janji tidak ingin bicara pasal perkara tu lagi. Saya pun tersiksa dengan dosa yang telah saya lakukan. Setiap saat saya mengutuk diri sendiri. Saya amat menyesal dengan apa yang telah saya lakukan. Saya berjanji saya takkan kasari awak lagi. Saya amat…amat dan amat cintakan awak”

“Saya tahu. Saya cuma risaukan cara awak. Awak keterlaluan menyayangi saya. Saya takut”

“Awak takutkan saya? Please…janganlah macam ni. Saya ingin awak bahagia bersama saya. Bukannya hidup dalam ketakutan. Saya janji akan betulkan segalanya. Berilah saya peluang. Saya bukannya pesakit psikologi. Saya manusia biasa yang normal. Cuma saya jadi tidak tentu arah kerana amat cintakan awak. Malam tu saya tidak dapat mengawal perasaan bila awak tidak izinkan saya jumpa dan hubungi awak. Saya tidak boleh bayangkan hidup saya tanpa melihat awak Tasha”

“Saya tanya perkara itu sekadar ingin memahami awak. Saya memang ingin berikan awak peluang. Memang itu tujuan saya. Saya…sudi bersama awak”. Hanif kelihatan terkejut di dalam senyuman yang bertambah mekar.

“Dengan syarat kita bertunang sebelum awak ke Jepun. Dan kita berkahwin selepas awak tamat belajar”tambah Tasha.

“Tapi…saya. Tasha, saya tidak ingin teruskan pelajaran saya. Saya akan ambil alih perniagaan papa tidak lama lagi. Kita terus kahwin, boleh?” pinta Hanif dalam cemas. Dia melutut di depan Tasha. Rasa sakit di kakinya tidak dihiraukan.

“Boleh, sekarang ke?” Tasha cuba mengusik. Segaris senyuman dihadiahkan kepada lelaki itu. Itulah senyuman pertama untuk Hanif. Hanif turut tersenyum. Rambutnya diselak dan wajahnya berseri.

“Bangunlah. Jangan melutut macam ni. Kaki awak masih sakit lagi”

“Saya cuma harap awak memahami saya, perlukan saya seperti saya perlukan awak dan sama-samalah kita lupakan segala kepedihan masa lalu. Saya nak mulakan hidup baru bersama awak”tambah Tasha merenung Hanif yang masih melutut di depan. Hanif mengangguk. Lidah menjadi kelu untuk berkata-kata. Dia begitu gembira dengan keputusan Tasha. Dia berazam untuk membahagiakan gadis itu sepanjang hayatnya.

Nak baca Part 1? Klik sini

2 ulasan:

  1. mak ngoh..theme blog ni macam tak sesuai lah nak baca cerpen..sakit mata dok ushar..hoho

    BalasPadam
  2. okies ... terima bagitau...sebenarnya blog nih under construction yang tak tahu bila lah siapnya.

    BalasPadam

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!