Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Isnin, 18 Oktober 2010

Kehebatan Budu | Sos Bilis Kelantan | Budu Kosmetik

Kehebatan budu Kelantan



Sos ikan bilis yang diperam hingga hancur telah lama menjadi kegemaran masyarakat Pantai Timur. Kini makanan tradisional itu mendapat kebanggaan baru – dipeketkan dan dijadikan produk kecantikan.

 

BUDU sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan. Dikatakan, hampir setiap keluarga di negeri itu mempunyai sekurang-kurangnya sebotol budu di dapur mereka.

“Walaupun keluarga saya berketurunan Cina, namun kami selalu makan budu bersama ikan bakar dan ulam-ulaman,” akui Tan Chia Ying, 22.

Beliau yang tinggal di Kampung Panji, Kota Bharu, tidak malu mengaku makan budu sejak kecil. Keluarganya sering menyediakan budu yang diperah limau nipis dan dicampur cili api dan bawang.

“Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya melihat masyarakat Cina di Kelantan makan budu. Malah ramai kenalan saya yang berketurunan Cina meminati budu,” katanya yang berkulit putih gebu.

Kartilawati Subari, 40, pula berkata, beliau sentiasa menyimpan bekalan budu di rumahnya untuk dihidangkan kepada keluarga.

Terang beliau, walaupun budu merupakan makanan tradisional namun ia mempunyai banyak khasiat tetapi kurang didedahkan.

“Budu dikatakan menyumbang kepada kecantikan dan awet muda,” ujarnya sambil tersenyum.

Bagi seorang usahawan, Mat Ismail, 57, permintaan budu yang tidak pernah putus itu adalah satu idea perniagaan yang hebat.

Pada tahun 1978, Mat mula membuat budu secara kecil-kecilan di belakang rumahnya di Kampung Geting, Tumpat dengan bermodalkan RM1,500. Beliau menubuhkan syarikat Perusahaan Warisan Ketereh dan menggunakan biji ketereh sebagai tanda niaganya.

 

Selepas 30 tahun, ternyata budu telah memberi banyak kebanggaan kepada beliau.
Ia bukan semata-mata kerana beliau kini tinggal di rumah banglo dan memandu kereta Mercedes Benz.

Sebaliknya, Budu Ketereh beliau menjadi budu pertama negara ini yang diiktiraf sebagai harta intelek. Kejayaan itu dicapai pada tahun 2007.

Berikutan pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) itu, Budu Ketereh kini dilindungi mengikut Akta Perlabelan.
Budu Ketereh juga digunakan oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk menghasilkan produk kosmetik.
Buat masa ini, Mat mempunyai sebuah kilang budu di atas tanah seluas 0.8 hektar dengan dibantu 40 orang pekerja.

 

Empat daripada lapan anaknya hasil perkahwinan dengan Kamariah Hussein, 45, turut melibatkan diri dalam perniagaan itu.

Menurut Mat, proses membuat budu adalah ringkas iaitu hanya mengunakan ikan bilis, garam dan gula.

Katanya, kerja memproses budu dimulakan dari bulan Jun hingga November kerana ia merupakan musim ikan bilis.


“Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan dan pengasingan ikan bilis dilakukan oleh pekerja di bahagian pelantar kilang yang dibina di tebing sungai sebelum diangkut ke darat.

“Ikan bilis itu digaul dengan garam dan diperam selama enam bulan di dalam tong gentian kaca atau dalam kolah yang diperbuat daripada simen,” katanya yang kini memiliki 20 buah tong gentian kaca berukuran 1.2 meter tinggi dan 2 meter lebar.

Khabarnya, Mat merancang untuk membeli 200 buah tong lagi.
Penggunaan tong gentian kaca disarankan oleh Sirim bagi meningkatkan kebersihan produk berbanding kolah simen.

Bulan Disember hingga Mei pula adalah masa untuk memasak, menapis dan membotolkan makanan itu.

Selepas budu dimasak, ia ditapis dan disejukkan selama beberapa jam sebelum dibotolkan menggunakan tenaga mesin dan manusia.

Secara purata, kilang Budu Ketereh mampu mengeluarkan 12,000 botol budu sehari untuk memenuhi pasaran di seluruh Malaysia.


Bekalan bilis makin kurang
Bagaimanapun, Mat mengakui kekurangan ikan bilis menyebabkan pengeluaran budunya agak terhad.

Secara purata beliau memerlukan bekalan ikan bilis sebanyak tiga hingga empat tan sebulan, namun bekalan yang diperoleh sejak kebelakangan ini sekitar satu tan sahaja.

“Saya terpaksa membeli ikan bilis dari Sabah untuk memenuhi permintaan.

“Ikan bilis di perairan negara kita semakin berkurangan dan pada masa yang sama banyak kawasan pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara,” katanya yang menambah budu yang baik bergantung pada kualiti ikan bilis yang dibekalkan.

Pada awal tahun ini, Mat membeli sebuah mesin pembungkusan baru berharga RM45,000 untuk memasarkan budu dalam bentuk peket.

Budu yang diusahakan oleh Mat Ismail merupakan budu yang pertama di negara ini yang dimodenkan penampilannya hasil bantuan Sirim dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).

Menurut Mat, idea untuk memasarkan budu di dalam peket muncul selepas beliau mendapati kebanyakan produk seperti kopi segera kelihatan lebih moden dan ringkas apabila dipeketkan.

“Selain itu, budu yang disimpan di dalam botol agak sukar dipasarkan ke negara luar kerana ia tidak boleh dibawa dengan kapal terbang.

“Dengan pembungkusan menggunakan teknik lebih canggih, saya berharap Budu Ketereh mampu menembusi pasaran antarabangsa sedikit masa lagi,” katanya.
Mat berkata, mesin pembungkusan baru itu mengeluarkan budu dalam dua peket berbeza iaitu kandungan 20 mililiter dan 80 mililiter. “Dalam sehari mesin itu boleh mengeluarkan lebih 1,000 peket budu,” katanya.


Budu cerahkan kulit dan antipenuaan
RAUT wajah Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses, Pusat Teknologi Sirim, Hamidah Sidek kelihatan seperti gadis 20-an walaupun umur sebenarnya adalah 40 tahun.

Apabila ditanya rahsia awet mudanya, graduan dalam bidang pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau pada mulanya menggunakan produk kecantikan terkenal.

“Namun kini saya beralih kepada makan budu setiap kali makan tengah hari dan makan malam,” katanya.

 

Menurut Hamidah, dalam kajian yang dilakukannya selama dua tahun bersama 10 penyelidik Sirim yang lain, makanan tradisional itu mampu mengekalkan wajah muda seseorang.

“Proses penapaian budu menguraikan bahan organik kepada peptida dan asid amino yang menyumbang kepada rasa dan aroma lazat serta mempunyai nilai kosmetik.

“Ia berkesan sebagai agen mencerahkan kulit dan antipenuaan. Semua ini berlaku kerana ekstrak marin daripada budu berupaya melawan radikal bebas, merangsang pertambahan sel kulit dan menggalakkan penghasilan kolagen.

“Ia juga mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari,” terang beliau yang telah melakukan kajian makmal dan ujian ke atas 25 individu.

Sebahagian besar individu yang diuji mendapati wajah mereka semakin cerah, bintik jerawat berkurangan dan menyelesaikan masalah kulit berminyak.

Produk kosmetik budu Sirim terbahagi kepada tiga iaitu pembersih dan penyegar, krim kulit dan serum kecantikan kulit. Ia menggunakan jenama BK iaitu Budu Kelantan atau Budu Ketereh.

“Walaupun hanya satu peratus ekstrak budu digunakan sebagai bahan asas kosmetik tetapi ia berkesan kerana komponen itu sudah cukup untuk memberi khasiat kepada pemakainya.

“Malah kami kini mengkaji potensi tempe sebagai produk kosmetik,” katanya.
Hamidah berharap produk BK akan mendapat sambutan daripada pengguna kelak sebaik sahaja Sirim bertemu syarikat yang berminat untuk mengedarkannya.

 – MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Rencana ini dipetik dari Kosmo
HAMIDAH menunjukkan produk kosmetik dengan jenama BK yang turut mengandungi budu.

SOS budu terhasil selepas enam bulan dibiarkan di dalam tong pemeraman.

BUDU Ketereh yang diusahakan Mat Ismail turut digunakan sebagai agen antipenuaan dalam produk kosmetik.

1 ulasan:

  1. budu ketereh memanglah best...tengok warna pun dah tau bersih.

    BalasPadam

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!