Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Ahad, 17 Oktober 2010

Jerat Cinta Internet : Beberapa laporan dari Kosmo mengikut tarikh

•14 September 2010

KUALA LUMPUR: Laman sembang sosial yang popular untuk mencari rakan, menyalur maklumat dan tempat bersembang menerusi maya dikesan turut disalah guna segelintir lelaki sebagai alat menjerat gadis termasuk masih di bangku sekolah rendah terjebak dalam kancah perzinaan.

Mendedahkan barah sosial yang menakutkan itu, seorang mangsa hanya mahu dikenali sebagai Elin, 13, berkata dia didedahkan dengan sembang Internet sejak kecil oleh keluarganya. “Saya jadi obses bersembang di ruang maya hingga sanggup tidak turun makan. Balik sekolah terus menghadap komputer, berjam-jam pun tak menjadi masalah.

“Seronok ada ramai kawan sebab di rumah selalu sunyi. Masa itu pun saya ada lebih 2,000 kawan di ruangan Friendster itu yang kebanyakan tak pernah jumpa bersemuka pun.

“Dalam ramai-ramai, ada juga beberapa lelaki cuba mengurat dengan menghantar ayat cinta dan saya akui seronok,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

 •7 Ogos 2010

KUALA LUMPUR: Seorang gadis yang dilamar untuk berkahwin akhirnya menjadi mangsa tipu seorang lelaki ‘warak’ yang menggunakan himpunan kata pedoman serta doa ayat suci di Internet untuk memikat mangsa supaya menyerahkan wang. Lelaki itu yang kerap tampil berserban selain tidak lekang bibirnya mengungkap himpunan hadis menyebabkan ramai gadis mudah jatuh cinta kerana menyangka dia benar-benar alim dan boleh dipercayai.

 Namun, mangsa yang dijerat melalui laman sosial Facebook atau Tagged hanya menyedari niat sebenar suspek ‘romeo Internet’ itu selepas wang dalam akaun mereka ‘disedut’ sedikit demi sedikit. Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Lin, 30-an, berkata, taktik itu menyebabkan dia rugi hampir RM20,000 tunai selepas diperdaya menyerahkan nombor akaun bank kepada lelaki berkenaan.

Katanya, dia mengenali lelaki itu melalui laman sembang Internet dan tertarik dengan personalitinya yang kerap melontarkan nasihat berbentuk keagamaan selain bijak memberikan tazkirah berhubung masalah hidup.

“Buah fikiran bernas diselangi doa menyebabkan saya tertarik dengan tanggapan dia lelaki matang dan benar-benar mahu membantu wanita bermasalah,” katanya.

 •20 Julai 2010

 KEPALA BATAS: Seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Nurul Gersang’ dikesan menggunakan laman sembang sosial menawarkan diri untuk dijadikan teman tidur sebelum menjerat mangsa supaya memasukkan wang ke dalam akaunnya. Wanita berusia 20-an itu turut memuatkan nombor telefonnya dalam laman sosial popular itu serta mempamerkan gambar seorang wanita seksi bagi menawan ‘mangsa’ tetapi dipercayai bukan dirinya.

Apabila ada individu menghubunginya, wanita berkenaan akan bertanya ‘nak booking ke’ sebelum meminta ‘bakal’ pelanggan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun miliknya sebagai syarat untuk bertemu. Bagaimanapun, wanita berkenaan memberi pelbagai helah apabila tempoh temu janji ditetapkan walaupun wang sudah dimasukkan dalam akaunnya.

•5 Jun 2010

KUALA TERENGGANU: Penangan cinta siber bukan saja menyebabkan seorang wanita hanyut diulit mimpi indah, malah sanggup menjual tubuhnya kepada seorang kenalan lelaki akibat terdesak mendapatkan duit membeli tiket pesawat bagi membolehkannya bertemu kekasih berketurunan Arab di Asia Barat.

Malangnya, selepas tubuhnya diratah rakan terbabit, wang dijanjikan untuk membiayai kos membeli tiket penerbangan dan perbelanjaan ke Arab Saudi tidak ditunaikan, malah dia kini tertekan dengan kesilapannya terlalu mudah menyerahkan tubuh.

Kisah itu diceritakan seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Ita, 35, kini hilang arah tujuan dan tertekan akibat terlalu terdesak mencari cinta selain sumber kewangan untuk bertemu kekasihnya itu.

Menurutnya, cinta gila itu bermula selepas dia mengenali lelaki warga asing terbabit menerusi sebuah laman sosial di Internet sebelum termakan pujuk rayu kekasihnya itu supaya datang bertemunya untuk membincangkan hal perkahwinan.

 •13 Mac 2010

KUALA LUMPUR: Kata- kata memikat dan ayat meraih simpati menjadi helah seorang penganggur mengikis wang beberapa wanita dalam satu masa. Dengan penampilan menarik, kasanova berusia 20-an, itu menggunakan laman sosial di Internet untuk mencari mangsa sebelum dipujuk bertemu.

Mangsa yang ‘cair’ dengan pujuk rayu lelaki terbabit diajak menjadi kekasih dan pada masa sama, wanita yang menjadi sasaran dipujuk menyerahkan wang ribuan ringgit kepadanya untuk berbelanja. Difahamkan, lelaki itu bekerjasama dengan seorang lagi rakannya untuk memperalatkan wanita sebelum ‘melesapkan’ wang mangsa.

Mangsa terbaru, seorang wanita berusia awal 20-an yang bertugas sebagai penolong pegawai perancang ekonomi di sebuah syarikat di ibu kota.

 •30 Januari 2010

 KUALA LUMPUR: Perkenalan seorang wanita dengan teman lelaki warga asing melalui Internet kononnya mahu memperisterikannya mengundang padah apabila menerima ugutan gambar bogelnya akan disebarkan kepada umum semata-mata enggan membayar sejumlah wang kepada lelaki terbabit.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Annie, 32, berkata dia mengenali lelaki berusia 30-an dikenali ‘William Bobby Madolf’ melalui Internet sebelum perhubungan mereka intim, pada Mac 2009. “Kami hanya berkomunikasi atau ‘berdating’ melalui laman sosial berkenaan dan dia (lelaki) yang mendakwa bekerja sebagai doktor perubatan di Amerika itu berjanji mengahwininya.

“Kerana terlalu percaya dan sayang, saya akur permintaannya yang meminta saya menunjukkan seluruh tubuh melalui kamera web beberapa kali,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA.

 •14 Januari 2010

 KUALA LUMPUR: Bermodalkan ayat ‘power’ dan wajah kacak, segelintir lelaki hidung belang bijak menjerat cinta gadis remaja menggunakan laman sosial di Internet untuk menjadi pemuas nafsu mereka. Sasaran mereka, gadis remaja yang kemaruk melayari laman sosial untuk mencari kenalan hingga jatuh cinta dan seterusnya menyerahkan kehormatan diri.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azie, 21, ketika ditemui berkata, dia berkenalan dengan seorang jejaka berumur 20 tahun bernama Muaz melalui sebuah laman sosial popular di Internet.

“Selepas seminggu berkenalan melalui laman Myspace, saya mula jatuh cinta kepadanya dan kami berjumpa buat kali pertama di sebuah pusat beli-belah,” katanya yang juga penuntut pengajian syariah di sebuah kolej swasta di ibu negara.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Berhati-hatilah wahai adik-adik dan kakak-kakak yang mencari cinta di ruang siber ini. Makngoh tak risau sangat kalau mangsanya itu lelaki tetapi makngoh sangat risau kalau mangsanya itu adalah perempuan dan anak gadis yang masih di bangku sekolah.

Dulu, makngoh pun jenis suka berchatting di laman Yahoo Messenger dan kadang-kadang mIRC sejak di bangku sekolah. Memang seolah-olah menjadi ketagih. Namun, pandai-pandailah bawa diri dan jaga diri di alam maya. Makngoh tak pernah jumpa walau seorang pun rakan maya.

Tetapi, jika anda biasa berchatting di Room Kelate 1, Yahoo Messenger...kebanyakkan antara chatter otai di sana sudah mengenali antara satu sama lain dan mereka sering buat gathering beramai-ramai. Itu lebih selamat. Makngoh percayakan mereka walaupun makngoh tak pernah jumpa mereka. Banyak juga gambar-gambar ketika gathering mereka diletakkan di laman facebook dan group facebook.

Nasihat makngoh, janganlah berjumpa dengan kawan maya yang mengenalkan diri secara individu. Memang ada juga pengalaman makngoh berchatting dengan orang yang sering mengajarkan doa, orang yang sering memberi nasihat, orang yang sering menunjukkan kemewahannya dan orang yang mengaku bekerja sebagai doktor, jurutera dan peguam. Ada juga yang mengaku sebagai pelajar sekolah tahfiz, pelajar dari Cairo, Mesir dan macam-macam lagi.

Dalam alam maya, lebih baik kita sering berfikiran dan bertanggapan negatif terhadap seseorang. Bagi mengelakkan kita tertipu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!