Siaran eksklusif majlis persandingan dan resepsi Angkasawan Negara di TV3 berjaya meraih rating 3.2 juta rakyat pada 10 Oktober 2010 yang lalu. Seluruh rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan acara gilang-gemilang di kaca TV dan meraikan detik bersejarah Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang selamat diijabkabulkan bersama pasangan hatinya, Dr Harlina Mohd Yunos.
Paparan ekslusif bemula pada hari yang sama, jam 2.00 petang hingga 3.00 petang menerusi program NONA yang dihoskan oleh Siti Hasfizza Aswaty Sabjahan. Hampir 1.6 juta penonton mengikuti laporan terkini Fiza yang turut berada di sekitar majlis pernikahan. Sebaik selepas berakhirnya siaran berita Buletin Utama, dibawakan khas dari Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya (PICC) menampilkan gandingan serasi, Ahmad Fedtri Yahya dan Nurul Syuhada Nurul Ain sebagai pengantara majlis. Bermula daripada susunan aturcara majlis yang diterajui oleh Dato’ Mahadzir Lokman, laporan ekslusif turut menyiarkan ketibaan pengantin di dewan yang dihiasi indah berkonsepkan ‘istana kayangan’ dan diiringi oleh paluan kompang, gurindam, bunyian orkestra serta selawat dan marhaban ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, ketika ditemui berkata, “TV3 sentiasa peka terhadap kehendak penonton dan sentiasa memberikan hanya yang terbaik kepada mereka. Kami amat teruja dengan kejayaan catatan rating tinggi untuk program khas tersebut. Kami sudah menjangkakan jumlah penonton akan meningkat kerana majlis ini memang amat dinantikan oleh penonton setia TV3. Populariti Dr. Sheikh Muszaphar sebagai angkasawan pertama Negara secara tidak langsung menjadikannya sebagai ‘wedding of the year’. Saya bagi pihak TV3 ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton semua kerana terus setia bersama TV3!”
Laporan eksklusif majlis resepsi dan persandingan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Harlina Mohd Yunos ini menampilkan Syarida Shariff (Sherry) sebagai penerbit dan Puan Siti Hatija Yusof yang bertindak sebagai penerbit eksekutif serta turut dibantu oleh tenaga warga kerja Primeworks Studios dan TV3.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
sila komen jika sudi :)