Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Ahad, 31 Oktober 2010

Raja Melayu gusar

Trend politik semasa cabar kedaulatan Perlembagaan

Majlis Raja-Raja Melayu menyatakan kebimbangan dan memandang berat trend politik semasa di negara ini yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar kedaulatan Perlembagaan negara.Berikutan itu, Raja-Raja Melayu menitahkan seluruh rak-yat memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada kontrak sosial iaitu semangat permuafakatan dan persefahaman antara kaum dan persetujuan Raja-Raja Melayu.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah dalam kenyataannya semalam, berkata Raja-Raja Melayu berpegang bahawa kontrak sosial yang dipersetujui itu adalah watikah yang menjadi asas kepada keadilan sosial di negara ini yang merangkumi cita-cita bagi mencapai hasrat pembahagian ekonomi secara adil.

“Sikap tolak ansur antara kaum menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan hasil Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 yang berlangsung di Istana Negara pada 13 dan 14 Oktober lalu.

“Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum akan perkembangan semasa serta kebimbangan yang disuarakan oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara menyentuh agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu dan bahasa Melayu,” katanya.

Selain itu, katanya, Majlis Raja-Raja juga memandang serius kewujudan jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah berat, yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman dan imej negara.
“Raja-Raja Melayu bersama Yang di-Pertua negeri memahami serta menghargai usaha Kerajaan Persekutuan menyatupadukan rakyat berlandaskan semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Raja-Raja Melayu menitahkan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama terus bersatu serta setia kepada negara demi memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara kerana setiap rakyat mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

“Setiap rakyat hendaklah terus menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dan mengelakkan tindak-tanduk yang membawa pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum yang menjejaskan kemakmuran dan keharmonian negara.

“Demi kedaulatan dan keharmonian negara yang kita kasihi ini, Raja-Raja Melayu berharap rakyat tidak akan memberi peluang untuk pembabitan dan campur tangan pihak luar dalam urusan negara,” katanya.

Raja-Raja Melayu turut menyeru orang Melayu bersatu dan tidak bertelingkah sesama sendiri berlandaskan semangat persaudaraan Islam, agar kedudukan orang Melayu tidak terpinggir dan terhakis dalam arus pembangunan negara.

“Pemimpin pertubuhan Melayu wajib mencari persamaan, bermuafakat menggunakan hikmah dan kebijaksanaan, melindungi dan membela nasib orang Melayu,” katanya.

Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa keutuhan bangsa Melayu serta nasib orang Melayu tidak akan terpelihara jika pemimpin pertubuhan Melayu lebih cenderung bertelagah dan memilih untuk berselisih faham.

“Raja-Raja Melayu berdoa supaya Malaysia yang dikasihi ini sentiasa berada dalam keadaan aman damai dan rakyatnya yang berbilang kaum terus bersatu serta kekal makmur dan sejahtera.

“Semoga Malaysia terus mendapat perlindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya.

Dipetik dari Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!