Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Ahad, 9 Mei 2010

Sampai bila krisis Kelantan?

Isu paling menarik perhatian orang ramai sejak dua minggu kebelakangan ini ialah kemelut Istana Kelantan. Makin banyak drama dan kejutan. Pelbagai versi cerita berlegar. Ada dua pihak istana yang berbalah berikutan status kesihatan Sultan Kelantan yang kini gering, saling tuduh menuduh. Belum pernah berlaku dalam sejarah moden Kesultanan Melayu, krisis sedemikian rupa.

Awang menjunjung kasih dan tidak berhasrat untuk mengulas panjang. Lebih-lebih lagi, seperti biasa media mudah dipersalahkan kerana dikatakan banyak melaporkan isu tersebut. Pada masa yang sama, rakyat keliru dan bingung apa yang berlaku. Maklumat untuk rakyat tidak diuruskan dengan cekap oleh kerajaan negeri. Pengurusan krisis pada tahap kosong. Sememangnya isu tersebut amat sensitif apatah lagi melibatkan seluruh institusi kesultanan negeri berkenaan yang selama ini tenang dan harmoni. Hakikatnya kini Sultan Kelantan, Raja Perempuan, Pemangku Raja dan adindanya terbabit dalam krisis yang kian meruncing.

Banyak pengajaran boleh diambil daripada isu tersebut. Apa pun Awang berharap jalan penyelesaian segera dapat dicari. Berdamailah. Institusi raja seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat jelata dan pihak luar. Pergeseran yang panjang hanya memalukan dan mencemarkan imej institusi yang mesti dipertahankan. Kalau di kalangan keluarga diraja sendiri gagal menjaga kemuliaan institusi itu, apakah kita mahu mengharapkan rakyat pula menasihatkan raja.

Dalam keadaan institusi kesultanan dan raja Melayu kian berdepan dengan banyak cabaran dan asakan, krisis seperti di Istana Kelantan akan menyukarkan lagi keadaan.

Seandainya kemelut tersebut masih gagal diselesaikan di peringkat dalaman dalam tempoh terdekat ini, Awang percaya Majlis Raja-Raja Melayu boleh memainkan peranan penting. Semua pihak perlu ada kemahuan yang tinggi untuk menamatkan krisis tersebut, sebelum ada golongan tertentu yang akan menangguk di air keruh dan makin ghairah untuk bermuslihat. Siapa golongan itu, fikirkanlah sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!