Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Khamis, 6 Mei 2010

Tengku Faris arah polis kawal ketat ayahanda di hospital

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com
2010/05/06

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini dengan kawalan ketat polis atas titah Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra demi menjaga keselamatan dan kesihatan ayahandanya.

Tengku Muhammad Faris Petra dalam titah yang dikeluarkan kepada Polis Kelantan kelmarin, juga mahu sebarang pergerakan ayahandanya mesti mendapat perkenan baginda terlebih dulu. Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Halim Hanafi, diarah memastikan keselamatan Tuanku Ismail Petra diberi perhatian berat dengan mengambil langkah perlu demi menjaga keselamatan dan kesihatan baginda.

“Ini juga disebabkan peristiwa mutakhir, termasuk kejadian seorang pengawal Istana Kelantan cedera parah ditembak penyerang tidak dikenali, mungkin ada perkara lain berkaitan tetapi tidak boleh didedahkan lanjut,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, petang semalam.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis percaya cubaan membunuh pengawal Istana Kelantan itu, Sabtu lalu, mempunyai kaitan dengan konspirasi untuk membunuh Pemangku Sultan Kelantan.

Abdul Halim bagaimanapun enggan mengulas tindakan polis mengambil keterangan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang ditahan sejurus Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke HUSM, malam kelmarin, sebelum dibebaskan empat jam kemudian.

"Itu harus dirujuk kepada Ketua Polis Kelantan. Itu urusan polis yang mempunyai cara terbaik difikirkan mereka. Hanya mereka dapat memberi ulasan," katanya.
Abdul Halim berkata, Tuanku Ismail Petra yang dimasukkan ke Wad Diraja HUSM malam kelmarin, dikawal ketat oleh polis supaya doktor pakar dapat memeriksa dan memberi pandangan kepada Pemangku Raja serta kerajaan negeri mengenai rawatan susulan serta tindakan selanjutnya.

"Ini kerana sebelum ini pihak tertentu menghalang kumpulan doktor pakar daripada membuat rawatan susulan dan terapi untuk pemulihan baginda Sultan," katanya.

Abdul Halim berkata, polis diarah membuat kawalan keselamatan bersesuaian dengan keadaan semasa mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negeri Kelantan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya membaca kenyataan rasmi yang dikeluarkan Pejabat Sultan Kelantan atau pihak yang bertanggungjawab, bukannya mendengar khabar angin atau blog.

"Pemangku Raja amat prihatin dan menyayangi ayahandanya, Tuanku Al-Sultan dan berusaha membuat yang terbaik demi kebahagiaan serta kesejahteraan baginda yang masih gering dan terpaksa menggunakan tiub untuk mengambil makanan.

"Kita perlu faham, apa yang berlaku adalah urusan keluarga Diraja Kelantan dan segalanya adalah takdir Allah yang perlu kita terima seadanya. Kita hanya boleh merancang, Allah yang menentukan segalanya," katanya.

Mengenai dakwaan ada di kalangan kerabat Sultan Kelantan dihalang melawat baginda sejak dimasukkan ke HUSM, Abdul Halim berkata:

“Kejadian itu mungkin berkaitan urusan dalaman atau keluarga, barangkali ada sesuatu perkara yang berlaku di kalangan ahli keluarga berkenaan," katanya.

reflection : dalam banyak2 laporan surat khabar, laporan nih paling lengkap... at least tau la sikit punca2 kejadian yang mengejut

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!