Pagi tadi ada gak terdengar di THR Gegar pasal berita mengejutkan ini. Baru tadi mak ngoh sempat search cari di Harian Metro. Beberapa tahun lepas pun ada kejadian macam ni.
Yang berlaku biarlah berlalu. Jadikan pengajaran dan sempadan. Kita orang Islam, terimalah ketentuan ALLAH dengan hati yang terbuka. Anggaplah itu ujian ALLAH untuk menguji keimanan dan janganlah disalahkan mana-mana pihak. Lagipun, memang itu bukan disengajakan.
Doakan semoga mereka tabah dan sabar dengan ujian nih.
ceritanya ~
CHUKAI: Seorang lelaki tidak menyangka kenderaan berat yang memberikan sumber pendapatan kepada seluruh ahli keluarganya akan meragut nyawa anak kesayangannya selepas tidak menyedari mangsa digilis ketika mengundurkan kenderaan berkenaan, petang kelmarin.
Tragedi ‘lori berdarah’ di Felda Neram 1, dekat sini, itu berlaku ketika mangsa berusia dua tahun mengekori bapanya dan tanpa disedari lelaki berkenaan mengundurkan kenderaan itu untuk mengalihkannya ke garaj berhampiran.
Ketua Polis Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata kejadian berlaku di hadapan rumah mangsa kira-kira jam 6.30 petang menyebabkan mangsa, Farida Nasuha Muhd terbunuh di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Menurutnya, bapa mangsa berusia 52 tahun hanya menyedari dia terlanggar sesuatu selepas berhenti dan terkejut melihat anaknya terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
“Lelaki berkenaan sudah memerhatikan anaknya, malah ketika kejadian dia sempat melihat seorang lagi anak lelakinya yang berusia 3 tahun di tepi rumah, tetapi tidak menyedari kelibat anak perempuannya itu.
“Lelaki berkenaan bekerja sebagai pemandu lori dan mengalihkan kepala lori terbabit selepas diarahkan isterinya berbuat demikian,” katanya.
Menurutnya, ketika sibuk mengalihkan kepala kenderaan berat itu, dia tidak sempat memerhatikan pergerakan mangsa dan hanya mengetahui kemalangan selepas memberhentikannya.
Berikutan kejadian itu, laporan polis dibuat dan siasatan awal mendapati mangsa digilis tayar kanan bahagian belakang lori.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala bapa mangsa sudah diambil keterangannya bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian.
Berikutan kejadian itu, Abdullah Sani meminta semua pemandu lebih berhati-hati ketika mengalih atau mengundur kenderaan terutama di halaman rumah bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Saya berharap mereka memeriksa bahagian belakang kenderaan ketika mengundurkan kenderaan berkali-kali kerana keselamatan anak-anak terletak di tangan ibu bapa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
sila komen jika sudi :)