Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Isnin, 5 Julai 2010

Anak Wali dan Kembar Air < Kepercayaan Pelik & Misteri

Sepanjang 3- 4 tahun mak ngoh duk Sabah, baru hari nih mak ngoh dengar kisah cerita kembar air dan anak wali. Anda semua pernah dengar tentang kepercayaan ini?

TAPI INGATAN : CERITA DI BAWAH ADALAH KARUT DAN KHURAFAT

Menurut kepercayaan orang di sini, kembar air berlaku apabila air ketuban yang banyak keluar sebelum bayi dilahirkan. Jika itu berlaku, bayi tersebut akan ada kembar air iaitu SESUATU/ROH yang akan mengekori dan membesar bersama bayi tersebut.

Manakala anak wali berlaku apabila bayi yang cukup sifat dan belum cukup sifat mengalami keguguran. Apabila si ibu mengandung lagi, maka anak yang dilahirkan selepas bayi yang keguguran itu akan ada anak wali. Sama macam kembar air, anak wali pun akan mengekori dan membesar bersama bayi yang dilahirkan oleh ibunya. Huhu...pelik kan.

Tapi biarlah pelik. Sekadar nak bercerita tentang kepercayaan mereka.

Cerita pasal kembar air nih bermula hari jumaat lepas, seorang ibu yang datang mengambil buku rekod anaknya. Anaknya tu nakal dan memang tak makan saman sangat. Bila si ibu mendengar penjelasan guru kelas tentang perangai anaknya, si ibu terus jawab
"Anak aku tu cikgu ada kembar air bah,cikgu"
"Aku dah pergi berubat dengan bomoh, memang bomoh kata anak aku tu ada kembar air. Yang jahat-jahat tu semua sebab kembar dia lah" ujar si ibu.

Guru kelas, Kak Zana tu pula bercerita dengan mak ngoh dan cikgu-cikgu lain pagi tadi tentang kisah kembar air nih. Kak Zana beritahu, dia pun ada anak saudara yang kononnya ada kembar air. Anak saudaranya, perempuan dan belajar di sekolah agama. Tetapi sangat suka mencuri dan barang curian tu bukan digunakan pun. Curi dan simpan. Tak boleh tengok ada peluang, semuanya dicuri. Pernah anak saudaranya mencuri telefon tangan milik seorang nurse yang ke sekolah mereka untuk suntikan Tetanus.

Walaupun telah dikenakan macam-macam tindakan, namun anak saudaranya buat tidak tahu malah tak malu pun dengan sikap pencurinya. Bayangkan, perempuan bertudung labuh dan belajar di sekolah agama dengan kedua-dua ibubapanya seorang cikgu.

Bila ibubapa budak perempuan itu berjumpa bomoh untuk mengubat penyakit pencurinya, bomoh tersebut memberitahu perkara itu berlaku kerana kembar air budak perempuan itu bersifat jahat dan kembar itulah yang memberi naluri mencuri.

Seorang cikgu lagi pula bercerita tentang pengalamannya mengenai anak wali. Cikgu ini seorang ustazah. Katanya, dia telah memarahi pelajar yang percaya tentang benda ini kerana karut dan khurafat. Ini kerana ada pelajar yang percaya dengan kembar air dan anak wali ini. Bila hari raya, sepasang baju raya juga disediakan untuk kembar air dan anak wali mereka. Begitu juga dengan makanan, malah ada orang di sini yang menyediakan bilik tidur khas untuk kembar air dan anak wali. Terkejut juga mak ngoh dengar cerita ini.

Namun, ustazah tersebut memberitahu...sesuatu telah berlaku pada keluarga mereka. Akhirnya seorang yang kononnya boleh melihat anak wali telah dipanggil untuk membetulkan keadaan. Tapi, senang cerita mak ngoh sebut bomoh jer lah. Bomoh itu memberitahu kononnya dia telah nampak ada seorang anak wali di rumah ustazah tersebut iaitu kakak atau abangnya yang telah gugur dulu-dulu lagi. Ibu kepada ustazah tersebut telah menanam janin yang gugur itu dan melupakannya. Itulah sebab anak wali itu datang menganggu dan marah-marah.

Pelik juga, bila ustazah itu cerita bahawa bomoh yang dipanggil oleh keluarganya nampak anak wali tersebut yang marah-marah. Ada kalanya anak wali itu memukul dan merosakkan barang-barang milik adik kepadanya (sebab dia dah gugur, ibu mengandung lagi dan lahirkan anak< anak tu adik dia).

Dan memang betul, barang adiknya tu rosak terutamanya kereta. Kereta yang elok-elok digunakan, tiba-tiba rosak. Bila dibawa baiki, tak ada apa yang rosak. Rupa-rupanya, bomoh itu memberitahu bahawa anak wali itu mahukan kereta milik adiknya. Haha... kami semua ketawa mendengar cerita pelik ala sedikit lucu.

Kononnya anak wali itu memberitahu bomoh tersebut, bahawa orang yang mahu menggunakan kereta tersebut perlu berkata "pinjam ye sekejab keretamu ini"... (berkata seorang diri)...

DAN, akhir cerita, kakak-kakak tempat kerja mak ngoh nih memang mengakui ada orang yang sangat percayakan tentang kewujudan kembar air dan anak wali ini. Katanya, orang Bugis Sabah sangat percayakan tentang perkara ini sehinggakan menyediakan bilik khas dan barang-barang keperluan lain untuk kembar air dan anak wali tersebut. Tapi sebenarnya apa guna? Dibelikan kasut, baju, telekung dan buku dan makanan untuk sesuatu yang tak wujud.

Secara sains kembar air sebenarnya Polyhidramnion atau disingkat hidramnion iaitu didefinisikan sebagai suatu keadaan di mana jumlah air ketuban melebihi 2 liter di dalam kandungan. Inilah yang dinamakan kembar air yang difahami oleh masyarakat melayu kita. Memang BENAR ADA keadaan ibu mengandung mengalami kembar air dan kembar darah tapi itu adalah KEADAAN bukan SESUATU ATAU ROH yang menyebabkan bayi berkelakuan jahat bila dah besar dan sentiasa mengekori bayi tersebut.

Jangan percayalah tentang anak wali dan kembar air yang kononnya berupa ROH atau SESUATU yang perlu dilayan seperti manusia. Sekadar mahu berkongsi sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!