Sudut Test Mouse Kiri

Tinggalkan pesanan anda di sini

Khamis, 8 Julai 2010

Pelajar ponteng : Guru putus asa ambil tindakan

Biarlah entri ini nampak macam pentingkan diri sendiri namun mak ngoh nak berkongsi sendiri pengalaman menangani isu pelajar ponteng.

Tahukah anda semua bahawa hanya 1 tindakan yang mampu dibuat oleh guru dan pihak sekolah terhadap pelajar ponteng iaitu SURAT AMARAN. Itu saja perkara yang mampu dibuat oleh pihak sekolah sebenarnya.

Siapa yang menyediakan SURAT AMARAN ini, guru kelas (kalau kes ponteng sekolah) dan guru disiplin (kalau kes ponteng kelas).

Bercakap mengenai isu ponteng sekolah ini ~ Surat Amaran Pertama diberikan pada hari ke-10 ketidakhadiran pelajar, Surat Amaran Kedua diberikan pada hari ke- 20 ketidakhadiran pelajar manakala Surat Amaran Terakhir pula adalah pada hari ke -40 ketidakhadiran. Ini adalah untuk kes ketidakhadiran tidak berturut-turut untuk sekolah mak ngoh. Mungkin berbeza dengan sekolah lain.

Apa isi surat amaran tersebut? Isinya adalah tarikh-tarikh pelajar tidak hadir ke sekolah, jumlah hari tidak hadir dan pelawaan pihak sekolah kepada ibubapa untuk datang ke sekolah, berbincang dan memberikan sebab diatas ketidakhadiran anak masing-masing.

Jika ada ibubapa datang, maka kes tutup dan selesai. Itu jer... Namun jika diteruskan kembali perangai lama, surat amaran diberi lagi sehinggalah ke amaran terakhir. Mesyuarat disiplin pula diadakan untuk meneliti pelajar-pelajar bermasalah ketidahadiran ini dan adakalanya, Pengerusi PIBG dan ibubapa dijemput bersama.

Apakah tindakan yang boleh diambil oleh pihak sekolah? Gantung sekolah paling-paling 2 minggu sahaja. Itu sahaja tindakan yang mampu pihak sekolah berikan. Sekolah mak ngoh nih jarang sangat, buat tindakan buang sekolah....walau apa pun kes pelajar itu. Ini kerana, apabila pelajar tersebut dibuang sekolah, pelajar itu merayu ke PPD dan PPD menelefon pihak sekolah dan memaksa sekolah menerima kembali pelajar tersebut.

Jadi... apa gunanya guru menyediakan surat amaran? Sebagai REKOD sahaja. REKOD DAN DOKUMENTASI sahaja. Dalam erti kata lain, menghabiskan dakwat pen dan dakwat printer sahaja. Tindakan yang diharapkan, tidak boleh dilaksanakan.

Kerana itulah, ada pelajar yang tidak pernah hadir ke sekolah selama 2 tahun, masih lagi berada dalam rekod daftar kelasnya, masih lagi perlu diisi buku rekod markahnya dan dilayan macam orang yang wujud. Kenapa? Surat amaran yang berpuluh-puluh kali ditulis tapi tiada satu pun jawapan. Pihak sekolah pun tidak berani nak ambil apa-apa tindakan. Pelajar itu masih dikira pelajar sekolah selagi dia tidak datang mengambil sijil berhenti sekolah. Menyedihkan juga, pelajar ini didaftarkan sebagai calon SPM juga walaupun dia tidak tahu menahu.

Itulah, perlaksanaan menangani pelajar ponteng ini amatlah tidak cekap dan pihak sekolah masih bersikap takut-takut. Takut disaman. Takut dimarahi ibubapa dan macam takut lagi. Bila keadaan itu berlaku, guru-guru jadi putus asa untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap pelajar ponteng. Nak denda pelajar tu = saja cari nahas dengan suratkhabar. Nak tulis surat amaran = dah lenguh jari tapi tak ada tindakan pun.

Pada pelajar semua, ingatlah~~~ sekolah itu tempat masa depan anda bermula. Kalau nak berjaya datanglah sekolah. Janganlah ponteng sekolah dan menyusahkan ramai pihak terutamanya guru kelas nak tulis surat amaran anda.

..................................................

Hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menyarankan pengetua dan pihak sekolah memberikan perhatian lebih pada isu pelajar ponteng.

"Maknanya kalau sehari pelajar tidak datang tanpa maklumat daripada ibu bapa, kita akan ambil tindakan dan ibu bapa mesti menelefon atau menghantar e-mel kepada pihak sekolah menjelaskan mengapa anak mereka tidak hadir"

"Kalau beberapa hari tak datang, pengetua diarah pergi cari di rumah dan dapatkan maklumat ibu bapa sendiri kenapa anak tak datang tanpa ada surat atau maklumat,"

2 ulasan:

  1. buang², buat rayuan pastu datang balik..

    tu je keja cikgu ;)

    BalasPadam
  2. lepas datang balik, lekat di sekolah 3 ari jer...pastu ponteng pulak

    BalasPadam

sila komen jika sudi :)

Labels

~Komen Terbaru~

Get This Recent Comment Widget!